WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Berbasikal Trek: Amarjit Sasar Bawa Kejohanan Dunia Ke Malaysia

27/04/2026 09:23 AM

KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) memberi bayangan bersedia untuk membida hak penganjuran Kejohanan Dunia pada masa hadapan susulan kejayaan penganjuran Piala Dunia Berbasikal Trek 2026 yang menutup tirai semalam.

Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill berkata kejayaan menganjurkan kejohanan Piala Dunia yang disifatkan setaraf Sukan Olimpik, membuktikan Malaysia mempunyai kapasiti penganjuran yang kompeten.

Beliau berkata sasaran selepas ini adalah untuk membawa Kejohanan Dunia ke Malaysia, namun terlebih dahulu perlu mendapatkan persetujuan barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PKBM serta “restu” Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum memulakan langkah.

"Ini boleh dikatakan pertama kali kita telah menganjurkan satu pertandingan dengan tahap dan intensiti tinggi, bertaraf dunia di Malaysia...saya rasa ini bukan pengakhiran sebaliknya satu permulaan. Sebab ia menunjukkan bahawa kita di Malaysia, PKBM ada kapasiti untuk menganjurkan kejohanan peringkat dunia.

"Kalau kita boleh buat Piala Dunia, kita boleh menganjurkan Kejohanan Dunia juga. Sasaran saya seterusnya adalah untuk memberi tumpuan kepada usaha membawa Kejohanan Dunia Berbasikal Trek ke Malaysia, kerana itu juga merupakan satu pencapaian yang besar," katanya ketika ditemui di Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Amarjit yang juga Naib Presiden Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) berkata memandangkan hak penganjuran Kejohanan Dunia sehingga tahun 2028 telah diberikan, beliau melihat edisi 2029 atau 2030 sebagai sasaran realistik untuk Malaysia membida.

Menyentuh mengenai yuran penganjuran, beliau berkata bagi acara trek adalah jauh lebih rendah berbanding acara lebuh raya yang menelan kos sekitar Swiss Franc 7 juta (kira-kira RM36 juta).

“Tapi bagi trek, ia berbeza dan tidak semahal itu, iaitu sekitar EUR 100,000 (kira-kira RM510,000) ke atas,” tambah beliau yang juga merupakan Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC).

Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek selama tiga hari di Nilai menutup tirainya semalam dengan jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menambah koleksi pingat apabila meraih gangsa dalam pecut individu lelaki selepas mencipta sensasi memenangi emas keirin hari sebelumnya.

Selain itu, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024 dan juara dunia 2025, Harrie Lavreysen merangkul emas pecut individu dengan menewaskan pelumba Trinidad dan Tobago Nicholas Paul, sekali gus berjaya mengubati kekecewaan membawa pulang perak dalam saingan keirin.

Kejohanan Piala Dunia Berbasikal Trek di Nilai yang menghimpunkan penyertaan dari lebih 40 negara serta barisan pelumba elit terbaik dunia, merupakan pusingan terakhir dalam tiga siri perlumbaan selepas Perth, Australia pada Mac lepas dan Hong Kong awal bulan ini.

Kejohanan itu kembali dianjurkan di Malaysia selepas 25 tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan