WILAYAH - SELATAN > BERITA

Krisis Bekalan Global: Kedudukan Fiskal Melaka Masih Terkawal - Ab Rauf

27/04/2026 01:30 PM

MELAKA, 27 April (Bernama) -- Kedudukan fiskal Melaka masih terkawal dan langkah kawalan sedang dilaksanakan dalam kerangka bajet sedia ada susulan krisis bekalan global berikutan konflik di Asia Barat, kata Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata justeru, kerajaan negeri tidak berhasrat untuk membentangkan Mini Bajet Melaka 2026, sebaliknya akan mengoptimumkan perbelanjaan, penjimatan kos operasi serta pelaksanaan program yang lebih bersasar bagi mengurangkan impak kepada rakyat.

“Kerajaan negeri akan terus menilai situasi dari semasa ke semasa serta komited untuk bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap langkah intervensi yang dilaksanakan adalah selaras, berkesan dan memberi impak optimum terhadap kesejahteraan rakyat serta kestabilan ekonomi negeri,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Low Chee Leong (PH-Kota Laksamana) yang mahu tahu adakah kerajaan negeri berhasrat membentangkan Mini Bajet Melaka 2026 bagi menangani krisis tenaga global yang melanda seluruh dunia sejak konflik di Asia Barat tercetus.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata berdasarkan bajet sedia kerajaan negeri memperuntukkan RM300,000 bagi memastikan keterjaminan bekalan beras, dengan sebahagian daripadanya disalurkan bagi tambahan Insentif Pembajakan sebanyak RM30 bagi 0.4 hektar secara sekali beri pada tahun ini melibatkan keluasan keseluruhan 607 hektar sawah, bagi membantu pesawah yang terkesan dengan krisis bekalan global.

Beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM300,000 bagi pembangunan koperasi pelbagai kluster termasuk sektor perkilangan, mikro, kecil dan sederhana serta kariah masjid. 

“Inisiatif ini memberi penekanan kepada pemerkasaan koperasi, menyokong kesinambungan program sedia ada serta memperkukuh peranan koperasi dalam merancakkan ekonomi Melaka,” katanya.

Ab Rauf berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) turut menyediakan inisiatif pemberian sewaan percuma selama satu bulan atau diskaun 30 peratus kepada semua premis perniagaan milik PBT, agensi dan anak syarikat kerajaan negeri dengan anggaran kos RM2.8 juta, selain diskaun 50 peratus kepada penjaja dan peniaga kecil bagi pembaharuan lesen penjaja di semua kawasan pentadbiran PBT.

Beliau berkata kerajaan negeri juga memperkenalkan Insentif Khas PBT Melaka iaitu kelonggaran pelanjutan Kebenaran Merancang (KM) yang diberikan tanpa keperluan mengemukakan permohonan baharu, tertakluk kepada permohonan dibuat dalam tempoh 12 bulan selepas tamat kelulusan asal, dengan pemohon hanya dikenakan bayaran penalti sebanyak 50 peratus daripada fi asal, sekali gus mengurangkan kos serta masa pemprosesan.

“Selain itu, pengecualian sepenuhnya Deposit Pembinaan untuk pelan bangunan baharu dan pelanjutan tempoh sah laku Borang B bagi pelan yang diluluskan pada 2026, tertakluk kepada pematuhan syarat teknikal yang ditetapkan.

“Seiring dengan Sambutan Ulang Tahun Bandaraya dan Perbandaran PBT Negeri Melaka, insentif ini turut dinikmati oleh orang awam melalui pengurangan kompoun hingga 80 peratus untuk semua jenis kompaun kecuali kes mahkamah, kerja tanah, sampah dan pusat hiburan, selain pengurangan bayaran caj perkhidmatan bagi cukai taksiran harta,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan