KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Kapal Tempur Pesisir (LCS 1) KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata secara keseluruhan, pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard kini mencapai kemajuan 76.88 peratus.
Beliau berkata penyerahan kapal itu ialah sebahagian daripada usaha pemodenan aset dan rasionalisasi angkatan bagi memastikan kesiagaan TLDM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Selain Maharaja Lela yang dijadualkan diserahkan pada Disember ini, kapal LCS 2 ‘Raja Muda Nala’ dan LCS 3 ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi perutusan Panglima Tentera Laut bersempena dengan sambutan Hari TLDM ke-92 di KD Pelandok, Pangkalan TLDM, Lumut, Perak yang disiarkan melalui laman YouTube rasmi TLDM.
Sebelum ini, Bernama melaporkan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata LCS 1 telah memulakan perjalanan laut pertama pada 28 Jan lepas bagi tujuan pengujian sistem jentera, jana kuasa, sistem penyaman udara dan sistem pendorongan.
Dalam pada itu, Badarudin berkata TLDM sedang membina networked fleet atau rangkaian armada yang seimbang dan berkeupayaan melaksanakan penugasan merentasi pelbagai spektrum, daripada operasi keselamatan maritim sehingga tahap peperangan.
Beliau berkata selain projek LCS, pembinaan tiga Kapal Misi Pesisir Batch 2 (LMSB 2) di Istanbul Shipyard, Turkiye turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila mencapai tahap 47.9 peratus setakat ini.
“Ketiga-tiga kapal LMSB 2 yang mula dibina pada 4 Dis 2024 dijangka diserahkan secara berperingkat bermula pada Oktober hingga Disember 2027, manakala upacara penamaan serta pelancaran kapal dijadualkan berlangsung pada Mei, Jun dan Ogos tahun ini,” katanya.
Badarudin berkata pembangunan projek dua Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) turut diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan keupayaan armada.
“Pemodenan ini bukan sekadar penambahan aset, tetapi turut memperkukuh keupayaan tempur dan kesiapsiagaan armada dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim semasa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata TLDM kini giat melatih bakal warga kapal dan base maintainer di dalam serta luar negara sebagai persediaan menerima kapal LCS dan LMSB 2.
Badarudin berkata pemilihan dibuat secara teliti bagi memastikan mereka memenuhi kriteria ditetapkan, selain menyeru warga TLDM merebut peluang meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan diri untuk dipilih sebagai kru pertama aset baharu TLDM.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial