WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek Solar Terapung Jana Hasil RM10 Juta Setahun Bagi Terengganu

27/04/2026 03:59 PM

KUALA TERENGGANU, 27 April (Bernama) -- Projek Solar Terapung Hidro Hibrid (HHFS) yang dibangunkan di Tasik Kenyir dekat Hulu Terengganu akan menjana RM10 juta setahun untuk hasil negeri Terengganu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) Datuk Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata projek berskala besar itu merupakan langkah strategik syarikat pelaburan negeri untuk mempelbagaikan sumber pendapatan.

Beliau berkata kerajaan negeri dijangka menerima hasil RM10 juta setiap tahun apabila projek fasa satu yang melibatkan pelaburan RM1.96 bilion dengan kapasiti 600 Megawatt (MW) itu siap sepenuhnya pada 2028.

"Hasrat kita di TI (Terengganu Inc) adalah untuk untuk memastikan projek ini dapat menyumbang kepada hasil negeri, sekali gus mengurangkan sedikit demi sedikit kebergantungan Terengganu kepada hasil royalti minyak dalam jangka masa panjang.

"Walaupun mungkin memakan masa, sekurang-kurangnya buat permulaan sekitar RM10 juta akan dibayar kepada kerajaan negeri setiap tahun daripada projek ini," katanya pada sidang media di Wisma TI di sini hari ini.

Burhanuddin Hilmi berkata projek fasa satu itu akan melibatkan pengambilan kira-kira 5,000 pekerja, dengan lebih 50 peratus daripadanya terdiri daripada tenaga tempatan.

Beliau berkata apabila siap kelak, Terengganu Inc menyasar untuk meneruskan projek HFSS bagi fasa dua dan tiga yang mampu menjana tenaga solar sehingga 2.5 Gigawatt (GW) dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

"Sekiranya perancangan ini dapat direalisasikan, projek solar terapung Tasik Kenyir akan menjadi projek terbesar di dunia," katanya.

Projek HHFS yang terbesar di Asia Tenggara itu akan dilaksanakan secara kerjasama antara Terengganu Inc dengan TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco).

Projek itu turut dilengkapi Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) berkapasiti 1.23 Giga-watt jam (GWh) yang menggunakan aplikasi teknologi moden.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan