WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Saya Dititah Teruskan Tanggungjawab Sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan - Aminuddin

27/04/2026 07:17 PM

SEREMBAN, 27 April (Bernama) -- Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata beliau dititahkan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir untuk meneruskan tanggungjawab mentadbir negeri itu.

Aminuddin berkata susulan itu kerajaan negeri akan berfungsi seperti biasa bagi memastikan kepentingan rakyat terpelihara.

Beliau berkata pihaknya mengambil maklum pengumuman 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinannya.

"Sehubungan itu, saya mempersembahkan pemakluman kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, dan Tuanku menasihatkan dan menitahkan agar saya meneruskan tanggungjawab mentadbir sebagai Menteri Besar seperti biasa.

"Selagi belum terdapat kejelasan muktamad mengenai perkara ini, selaras dengan peruntukan undang-undang dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, kerajaan negeri akan terus berfungsi seperti biasa, memastikan urusan pentadbiran berjalan lancar serta kepentingan rakyat Negeri Sembilan terus terpelihara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di kediaman rasmi Menteri Besar yang turut dihadiri barisan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) negeri. Turut hadir Pengerusi DAP negeri, Anthony Loke merangkap Menteri Pengangkutan dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.

Aminuddin percaya kerajaan minoriti pimpinannya masih mampu melaksanakan tanggungjawab, dan segala tindakan seterusnya akan berpandukan Perlembagaan serta undang-undang yang berkuat kuasa di negeri ini.

Mengulas penarikan sokongan wakil rakyat UMNO dan BN negeri, beliau mengakui terkejut memandangkan sebelum ini perbincangan telah diadakan berhubung keputusan untuk menangguhkan persidangan DUN baru-baru ini.

"Empat Exco termasuk Exco Kanan (Datuk Seri Jalaluddin Alias) berjumpa meminta persidangan itu ditangguhkan cuma selepas perbincangan kita bersetuju supaya perasmian berjalan dan mesyuarat ditangguhkan.

"Kalau sudah dirancang dari awal, sepatutnya biar dewan berjalan, bukan saya yang cadangkan dewan ini ditangguhkan, sepatutnya mereka buat usul undi tidak percaya terhadap saya," katanya dan menambah tiada masalah untuk ahli dewan mengusulkan undi tidak percaya pada persidangan akan datang.

Aminuddin berkata persidangan DUN boleh ditangguhkan dalam tempoh enam bulan dan yakin dapat meneruskan pentadbiran negeri dalam tempoh yang ada dengan baik selain menyatakan tiada hasrat untuk DUN dibubarkan.

Menteri Besar itu turut memberikan komitmen untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku selain memohon rakyat untuk bersabar dan terus memberi sokongan.

"Kita tengah usahakan (penyelesaian) ke arah perkara tersebut (kemelut adat di negeri ini), semua pimpinan berusaha...tiba-tiba perkara ini pula berlaku (penarikan sokongan)...kita kena redakan suasana ini, kita sedang usahakan," katanya.

Berhubung kemelut pemerintahan yang berlaku, Aminuddin yang juga ADUN Sikamat menjelaskan bahawa perkara tersebut merupakan keputusan daripada Dewan Keadilan Undang Negeri Sembilan.

Hari ini, kesemua 14 ADUN UMNO dan BN Negeri Sembilan sebulat suara hilang kepercayaan dan menarik sokongan terhadap kerajaan negeri pimpinan Aminuddin, susulan kemelut pemerintahan yang berlaku dan pemakluman rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Yang Dipertua DUN dan Setiausaha DUN.

Pilihan Raya Negeri ke-15 pada 2023 menyaksikan gabungan PH dan BN membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN.

Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN dan daripada jumlah itu, PH memenangi 17 kerusi, BN menguasai 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) dengan lima kerusi.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan