WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SUKMA 2026 Penting Bagi Persiapan Atlet Hadapi Sukan SEA Tahun Depan

27/04/2026 06:48 PM

KUCHING, 27 April (Bernama) -- Penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 amat penting sebagai platform persediaan atlet negara ke arah Sukan SEA 2027, kata Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufik Johari.

Beliau berkata walaupun SUKMA yang dijadualkan pada 15 hingga 24 Ogos itu dilaksanakan secara berhemat, ia tidak akan menjejaskan jumlah sukan dipertandingkan.

“Sebarang perbincangan bersama Tuanku (Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah) pada Rabu ini serta mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi pada Khamis akan datang, akan dikemas kini dari semasa ke semasa,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Kembara Inspirasi Belia Akar Umbi (KIBAR) Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memaklumkan penganjuran SUKMA 2026 akan diteruskan setelah mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurut KBS, Sultan Selangor memberi perkenan itu setelah menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata persiapan kemudahan sukan sempena Sukan SEA 2027 di negeri itu berjalan lancar walaupun berdepan cabaran.

Beliau berkata terdapat beberapa perkara dibangkitkan pihak kontraktor terutamanya berkaitan peningkatan kos bahan binaan, namun perkara itu sedang diteliti.

“Kita akan menilai satu persatu, namun ia tidak menjejaskan majlis perasmian serta semua acara sukan yang diadakan di Sarawak. Peningkatan kos tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan harga bahan binaan, namun sebarang tambahan peruntukan akan dibawa ke Kabinet untuk kelulusan,” katanya.

Beliau menegaskan tiada kelewatan dalam jadual pelaksanaan dengan pemantauan rapi terus dilakukan termasuk kerja di tapak projek yang berjalan hingga waktu malam bagi memastikan semua kemudahan siap mengikut jadual.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan