KUALA LUMPUR, 27 April (Bernama) -- Malaysia perlu terus berwaspada dan memperkukuh daya tahan negara untuk berdepan ancaman siber baharu susulan perkembangan pesat kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata perkembangan sedemikian menekankan keperluan untuk negara meningkatkan kesediaan melalui agensi seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) berikutan keupayaan AI yang terus berkembang.
“Kemunculan model AI yang semakin canggih termasuk mampu mengenal pasti kelemahan dalam sistem perisian yang digunakan secara meluas, telah menimbulkan kebimbangan serius dalam kalangan kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan di seluruh dunia,” kata beliau dalam ucaptama pada majlis pelancaran Huawei AI Lab dan Pusat Inovasi di sini hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan, pengawal selia dan agensi keselamatan kini sedang mengkaji implikasi keupayaan AI termaju terhadap daya tahan infrastruktur yang menjadi asas kepada kehidupan masyarakat.
Beliau berkata walaupun kebimbangan mengenai impak teknologi bukanlah sesuatu perkara baharu, dunia kini telah melepasi ambang yang tidak boleh diabaikan memandangkan perkembangan terkini menunjukkan bahawa sistem AI mampu mengenal pasti kelemahan kritikal dalam perisian yang digunakan secara meluas.
Perdana Menteri berkata Malaysia sedang membangunkan tindak balasnya bagi memastikan daya tahan dalam menghadapi ancaman digital yang sentiasa berubah di samping terus memajukan agenda transformasi digitalnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial