WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Program Townhall Masjid Daerah Kerian Perkukuh Hubungan JKM, Komuniti

28/04/2026 12:03 AM

PARIT BUNTAR, 27 April (Bernama) -- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terus memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat menerusi penganjuran Program Townhall Masjid Daerah Kerian “Sesi Pendengaran Awam” bersama Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat hari ini.

Program dialog awam itu menjadi platform komunikasi dua hala antara JKM dan masyarakat bagi membolehkan jabatan mendengar secara langsung pandangan, cadangan serta isu yang dihadapi komuniti, khususnya berkaitan kebajikan sosial serta penyampaian perkhidmatan.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan bersama pegawai kanan JKM, pemimpin komuniti dan penduduk setempat.

Dalam sesi berkenaan, pelbagai perkhidmatan kebajikan masyarakat dibincangkan termasuk bantuan kepada golongan memerlukan, kesejahteraan warga emas, kebajikan kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), pengukuhan institusi keluarga serta pendekatan intervensi sosial di peringkat komuniti.

Che Murad Sayang dalam ucapannya turut menekankan kepentingan pendaftaran OKU dalam kalangan ibu bapa dan penjaga bagi memastikan anak-anak istimewa dapat menikmati pelbagai bantuan, kemudahan serta sokongan yang disediakan oleh kerajaan melalui JKM.

"Setiap anak istimewa berhak diberi peluang untuk berjaya, dihargai dan dibela kerana kerajaan sudah sediakan untuk mereka.

"Tanggungjawab kita adalah memastikan mereka terus disantuni, disokong dan diberi perhatian sewajarnya dengan penuh kasih sayang serta keprihatinan,” katanya.

Sementara itu, Che Murad Sayang turut menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk bersama-sama menyumbang tenaga melalui program sukarelawan JKM yang mampu menjadi pemangkin kepada pembentukan masyarakat penyayang dan prihatin.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan