WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Dua Program MPKK Perkukuh Hubungan PBT, Agensi Dan Komuniti

25/04/2026 07:37 PM

KULIM, 25 April (Bernama) -- Penganjuran program Kulim Urban Community Fiesta 2026 dan Kulim Kedah Silver Ride 2026 yang diadakan di Dewan Putra Kulim, di sini hari ini, menjadi platform bersepadu dalam mengukuhkan hubungan antara pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi serta komuniti.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) Datuk Elmi Yusoff berkata penganjuran kedua-dua program secara serentak itu adalah bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun MPKK.

“Kulim Urban Community Fiesta 2026 memainkan peranan yang sangat penting sebagai platform penyatuan masyarakat.

“Melalui pelbagai aktiviti yang dianjurkan, sama ada berbentuk hiburan, keusahawanan, sukan atau kebudayaan, fiesta ini turut membuka ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi, berkongsi pengalaman serta memperkukuh hubungan sosial,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Seri Norizan Khazali.

Elmi berkata Kulim Kedah Silver Ride 2026 pula merupakan acara sukan berbasikal yang bukan sahaja menggalakkan gaya hidup sihat, tetapi juga mempromosikan Kulim sebagai bandar yang mesra rekreasi dan aktiviti luar.

“Program seperti ini amat penting kerana ia menggalakkan gaya hidup sihat dan aktif, selain meningkatkan interaksi sosial dalam kalangan masyarakat.

“Ia juga menjadi platform penyertaan semua lapisan umur serta menghidupkan ekonomi komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua program yang berlangsung dari 7.30 pagi hingga 2 petang itu turut mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Program ini turut menyediakan pelbagai aktiviti komuniti termasuk pameran agensi, pemeriksaan kesihatan, kempen kitar semula, karnival kerjaya, aktiviti sukan, pertandingan, Program Jualan Rahmah serta khidmat pelanggan secara langsung kepada masyarakat.

“Melalui pendekatan yang inklusif dan santai, program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan maklumat, berinteraksi dengan agensi serta menyertai aktiviti bermanfaat untuk semua lapisan umur,” katanya.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 220 peserta termasuk seorang dari Brunei menyertai acara Kulim Kedah Silver Ride 2026.

Sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Men Open (16 hingga 30 tahun), Men Junior Master (31 hingga 40 tahun), Men Senior Master (41 hingga 50 tahun), Men Veteran (51 hingga 60 tahun), Legendary Men (61 tahun ke atas) dan Women Open (16 tahun ke atas).

Sementara itu, Elmi berkata program berkenaan mampu mempromosikan Kulim sebagai bandar komuniti yang aktif, harmoni, inklusif dan progresif.

“Kulim mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus berkembang sebagai bandar industri berteknologi tinggi, bandar komuniti yang aktif dan inklusif, bandar yang mesra alam serta mampan, selain menjadi contoh kepada kawasan lain,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan