CYBERJAYA, 28 April (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan sokongan agar Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dinaik taraf kepada jabatan bagi memperkukuh keupayaan institusi itu dalam menangani isu kepenggunaan dan penguatkuasaan yang semakin kompleks.
Beliau berkata peranan pasukan penguat kuasa kini tidak lagi terhad kepada penguatkuasaan konvensional, sebaliknya merangkumi isu perdagangan domestik, ketirisan subsidi dan penyeludupan rentas sempadan yang melibatkan pelbagai kementerian dan agensi.
"Telah sampai (masanya) Bahagian Penguat Kuasa ini dinaik taraf kepada Jabatan Penguat Kuasa. Datuk Armizan (Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) bawa cadangan ini ke Kabinet (dan) saya akan beri dukungan kepada cadangan tersebut dalam mesyuarat Jemaah Menteri nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Penguat Kuasa KPDN ke-54 dan pelancaran Dasar Pengguna Negara 2.0, di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali dan Timbalannya Datuk Dr Fuziah Salleh serta Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam.
Ahmad Zahid berkata apabila berlaku isu berkaitan kepenggunaan dan perdagangan, pasukan penguat kuasa sering menjadi barisan hadapan yang dirujuk oleh kerajaan dan masyarakat.
Beliau menegaskan peningkatan tanggungjawab yang semakin besar memerlukan kekuatan organisasi yang setara dari segi struktur, sumber manusia dan keupayaan operasi.
"Bila tugas semakin mencabar dan tanggungjawab semakin besar, rasanya kekuatan pasukan itu pun kena seiring," katanya.
Justeru, beliau berharap Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dapat meneliti cadangan berkenaan secara menyeluruh bagi memastikan penstrukturan semula itu mampu meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata penguatkuasaan hari ini tidak boleh lagi bersifat konvensional, sebaliknya perlu memanfaatkan teknologi, data dan risikan bagi memastikan tindakan lebih pantas dan tepat dalam menangani penyelewengan subsidi, manipulasi harga serta jenayah perdagangan moden.
Beliau turut memuji kejayaan operasi penguatkuasaan seperti Ops Tiris yang mencatatkan rampasan melebihi RM260 juta sejak 2023, selain pelaksanaan lebih satu juta pemeriksaan dalam tempoh setahun.
Beliau berkata perlindungan pengguna dalam dunia yang semakin kompleks kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya satu keperluan negara bagi memastikan kestabilan pasaran dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial