KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd berjaya menerbitkan sukuk murabahah senior bernilai RM1.0 bilion menerusi program sukuk murabahah RM10 bilion.
Bank itu menjelaskan penerbitan tersebut mewakili tranche ke-10 mengikut program itu.
Sukuk itu meliputi dua siri dengan masing-masing bernilai RM500 juta dan tempoh matang tujuh dan 10 tahun.
Menurut Bank Islam tranche tujuh tahun akan matang pada 28 April, 2033 manakala tranche 10 tahun pada 28 April, 2036.
“Hasil daripada terbitan ini akan digunakan untuk aktiviti perbankan Bank Islam, keperluan modal kerja serta tujuan korporat lain,” tambahnya.
Dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata terbitan itu mencerminkan keyakinan berterusan pelabur terhadap kekukuhan kredit bank.
“Penerbitan itu juga membuktikan pendekatan berdisiplin kami dalam pengurusan lembaran imbangan dan komitmen kami untuk memastikan pembiayaan yang mampan bagi menyokong pertumbuhan bank dan keperluan pihak berkepentingan yang sentiasa berkembang, selaras dengan prinsip syariah,” katanya.
Sukuk tersebut menawarkan kadar keuntungan tetap sebanyak 4.01 peratus setahun bagi siri tujuh tahun dan 4.10 peratus setahun bagi siri 10 tahun, serta diberi penarafan AA3 dengan prospek stabil oleh RAM Rating Services Bhd.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial