GEORGE TOWN, 28 April (Bernama) -- Semua rundingan aktif antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan pihak berkepentingan terjejas termasuk Waterfall Cafe, di sini bagi mencari penyelesaian adil dan praktikal bagi isu yang berlarutan dari 1990 gagal sehingga menyebabkan ia dirobohkan hari ini.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata semua notis arahan pengosongan oleh Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut bermula dengan notis pengosongan pada 4 Jan 2024 sehingga kini juga tidak dipatuhi.
“Walaupun terdapat tunggakan sewaan, kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut (PDTTL) menawarkan beberapa pilihan kepada Waterfall Cafe untuk berpindah dan meneruskan operasi.
“Ini termasuk dua unit di tempat letak kereta bertingkat (plaza komersial) untuk projek kereta kabel Bukit Bendera yang bakal dibina serta tapak sementara sepanjang tempoh pembinaan.
“Malangnya, pilihan ini ditolak tanpa justifikasi yang jelas walaupun ditawarkan dengan niat baik bagi menyokong kesinambungan perniagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Chow berkata mesyuarat penyelarasan pada 19 Jun 2023 bersetuju Waterfall Cafe akan berpindah dan menjelaskan tunggakan sewaan namun komitmen itu juga tidak ditunaikan.
Beliau berkata notis pengusiran pertama dikeluarkan pada 4 Jan 2024 oleh PDTTL dengan beberapa siri perbincangan bermula 19 Feb 2024 manakala notis terakhir pada 15 April 2026 sebelum disusuli tindakan penguatkuasaan hari ini.
Terdahulu, kafe yang terletak berhampiran pintu masuk Taman Botani dirobohkan oleh pihak berkuasa sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam media sosial dan penduduk setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial