WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Malta Umum Pilihan Raya Mengejut Susulan Krisis Asia Barat

28/04/2026 08:19 PM

MOSCOW, 28 April (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Perdana Menteri Malta Robert Abela mengumumkan pilihan raya parlimen mengejut di negara itu susulan krisis yang dicetuskan oleh konflik di Asia Barat, lapor Sputnik/RIA Novosti.

"Memandangkan realiti dan cabaran global semasa yang mendatang, negara kita memerlukan mandat yang diperbaharui untuk bergerak ke hadapan dengan kestabilan. Saya akan mengesyorkan kepada Tuan Yang Terutama Presiden Myriam Spiteri Debono pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum pada 30 Mei," menurut Abela menerusi hantaran di X, pada Isnin.

Keputusan itu dibuat berikutan apa yang disifatkan Abela sebagai "situasi antarabangsa yang luar biasa", dengan kebimbangan khusus terhadap fokus yang kian meningkat terhadap isu tenaga, berpunca daripada konflik Asia Barat, lapor akhbar Malta Independent, memetik ucapan perdana menteri itu di televisyen.

Abela memberi amaran gangguan dalam bekalan minyak, gas, petrol dan diesel boleh menjadi realiti jangka panjang dan bukan hanya krisis sementara, sambil menambah perkembangan sedemikian sudah membentuk landskap global baharu, dengan beberapa negara menghadapi kemungkinan kekangan tenaga, kenaikan kos bahan api dan bil utiliti lebih tinggi.

Harga elektrik, air dan bahan api akan kekal stabil, dengan €250 juta (AS$292 juta) dalam penjimatan kerajaan diperuntukkan untuk membantu isi rumah dan perniagaan, tambah perdana menteri.

Susulan ucapan Abela, Debono menandatangani dekri membubarkan parlimen di hadapan Abela di istana presiden, lapor Malta Independent.

Kempen pilihan raya akan berjalan untuk tempoh minimum yang dikehendaki oleh undang-undang, iaitu 33 hari.

Parti Buruh Abela kekal di hadapan dalam tinjauan pendapat, walaupun kelebihan itu merosot berbanding margin sejak 13 tahun lepas, lapor akhbar itu.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran termasuk di Tehran, menyebabkan kerosakan serta kematian orang awam.

Iran bertindak balas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.

Pada 7 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata.

Ketegangan itu menjejaskan pergerakan kapal di Selat Hormuz iaitu laluan utama untuk penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global sekali gus melonjakkan harga bahan api.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan