Oleh Wan Muhammad Aslah Wan Razali
KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Malaysia harus melihat ke arah Afrika sebagai perbatasan perdagangan dan pelaburan seterusnya memandangkan kepelbagaian ke pasaran pesat membangun menjadi semakin penting di tengah-tengah ketidaktentuan global, menurut Rakan Kongsi dan Pengarah Urusan Bersama PEMANDU Associates, Aida Azmi.
Beliau berkata pelaburan langsung Malaysia di luar negara pada masa ini berjumlah kira-kira RM660 bilion, dengan sebahagian besarnya tertumpu di pasaran mapan seperti ASEAN, Amerika Syarikat (AS) dan China.
Walaupun cekap, penumpuan sedemikian juga mewujudkan risiko.
Justeru, Afrika muncul sebagai pilihan strategik untuk kepelbagaian dan pertumbuhan jangka panjang, katanya dalam satu temu bual dalam program The Nation terbitan Bernama TV di sini, pada Selasa.
"Jika ASEAN merupakan kisah pertumbuhan kita 30 tahun lepas, Afrika boleh menjadi tempat yang kita teliti untuk perbatasan pertumbuhan kita yang seterusnya.
Jadi, kepelbagaian adalah kunci," katanya sambil menyatakan bahawa perniagaan harus melihat pasaran baharu sebagai peluang untuk menyebarkan risiko melalui analisis teliti dan perancangan strategik yang lebih kukuh.
Aida berkata Afrika, dengan populasi lebih 1.4 bilion dan gabungan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi US$3 trilion, menawarkan potensi jangka panjang yang teguh, dengan populasinya diunjurkan mencapai 2.5 bilion menjelang 2050.
Beliau berkata pelabur tidak seharusnya menganggap Afrika sebagai pasaran tunggal, sambil menyatakan benua itu terdiri daripada 54 negara, masing-masing dengan kedinamikan ekonomi, peluang dan persekitaran kawal selia yang berbeza.
Antara wilayah yang berpotensi, beliau menyasarkan Afrika Timur sebagai satu daripada kawasan yang paling pesat berkembang, mencatatkan pertumbuhan KDNK sebenar antara enam hingga lapan peratus, iaitu di atas purata global kira-kira tiga peratus.
Mengenai peluang sektoral, Aida berkata pertanian kekal sebagai tonggak utama, menggaji kira-kira 60 peratus tenaga kerja Afrika dan menyumbang sekitar 20 peratus kepada KDNK.
Beliau menambah bahawa lebih 60 peratus daripada tanah boleh tani yang belum diusahakan di dunia terletak di Afrika.
"Jadi ia boleh memberi makan kepada masa depan, tetapi ia juga boleh menguasai masa depan. Dari segi sumber untuk pertanian dan kuasa, ia adalah unsur nadir bumi dan mineral. Afrika mempunyai kira-kira US$6 trilion rizab dan deposit dalam sektor itu," katanya.
Aida berkata perniagaan Malaysia boleh memanfaatkan pengalaman pembangunan negara sendiri dalam perindustrian, pembandaran dan transformasi ekonomi untuk meneroka peluang di pasaran Afrika.
"Tiga puluh tahun lepas, Malaysia juga dianggap sebagai pasaran pesat membangun yang berisiko, dan lihatlah di mana kita berada hari ini. Pelabur awal yang menyokong kita kini sedang menikmati hasil usaha mereka," katanya.
Beliau berkata kejayaan di Afrika memerlukan pemilihan pasaran yang teliti, perkongsian tempatan yang kukuh dan komitmen jangka panjang.
Malaysia sudah mempunyai jejak sedia ada di Afrika melalui minyak dan gas, komoditi, infrastruktur dan hospitaliti, namun pendekatan platform yang lebih terselaras diperlukan untuk meningkatkan penglibatan masa depan, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial