WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MetMalaysia Keluar Amaran Cuaca Panas Tahap Satu Di 16 Kawasan

28/04/2026 06:27 PM

KUALA LUMPUR, 28 April (Bernama) -- Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan status cuaca panas Tahap 1 atau kategori berjaga-jaga bagi 16 kawasan di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

MetMalaysia dalam kenyataan memaklumkan di Semenanjung, kawasan terlibat ialah seluruh Perlis manakala di Kedah membabitkan Kubang Pasu, Pendang, Kota Setar dan Padang Terap.

Amaran sama turut dikeluarkan bagi kawasan Kuala Kangsar di Perak dan Kuala Lumpur manakala di Kelantan melibatkan Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Machang sementara di Selangor membabitkan Gombak dan Sepang.

Turut tersenarai ialah dua kawasan di Sabah iaitu Beaufort dan Telupid serta Limbang di Sarawak.

Menurut MetMalaysia, status Tahap 1 atau berjaga-jaga dikeluarkan apabila suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.

Orang ramai boleh merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di https://www.met.gov.my/iklim/status-cuaca-panas/ untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai status cuaca panas harian di seluruh negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan