WILAYAH - SARAWAK > BERITA

OIC Gesa UNSC Jadikan Gencatan Senjata Gaza Sebagai Asas Keamanan Adil, Berkekalan

29/04/2026 09:02 AM

HAMILTON, 29 April (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pada Selasa menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bergerak melangkaui gencatan senjata di Gaza ke arah menamatkan sepenuhnya pendudukan Israel, lapor Anadolu Ajansi.

Bercakap bagi pihak OIC selaku pengerusi pada debat terbuka UNSC mengenai Asia Barat, Wakil Tetap Turkiye ke PBB Ahmet Yildiz berkata OIC mengalu-alukan perjanjian gencatan senjata bagi Gaza dan pelaksanaan fasa kedua perjanjian yang akan datang selaras dengan Resolusi 2803 UNSC.

Beliau memberi amaran bahawa keadaan di Gaza serta wilayah Palestin yang diduduki masih amat buruk, manakala rakyat Palestin terus menanggung penderitaan dan tragedi akibat pendudukan haram Israel.

Yildiz berkata pelanggaran Israel semakin meningkat, termasuk serangan dan keganasan pendatang haram terhadap penduduk awam Palestin di Gaza dan Tebing Barat termasuk Al-Quds Al-Sharif.

Beliau turut merujuk keputusan terbaharu Israel meluluskan penempatan haram baharu di seluruh wilayah Palestin.

Mengenai rantau lebih luas, OIC menegaskan bahawa keamanan berkekalan di Asia Barat memerlukan pengunduran sepenuhnya Israel dari semua wilayah Arab yang diduduki, termasuk Golan Arab Syria yang diduduki, serta pematuhan penuh terhadap Resolusi 242 (1967), 338 (1973) dan 497 (1981) UNSC.

Yildiz turut mengecam pencerobohan Israel ke wilayah Syria sejak 8 Dis 2024 yang disifatkan melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam PBB dan Perjanjian Pemisahan 1974.

OIC juga mengalu-alukan pemberhentian permusuhan di Lubnan, menegaskan semula sokongan terhadap kedaulatan negara itu dan mengecam keras serangan terhadap anggota serta premis Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

Pertubuhan itu turut merakamkan ucapan takziah kepada Indonesia dan Perancis atas kehilangan anggota pengaman.

Bercakap atas kapasiti negaranya, Yildiz memberi amaran bahawa tindakan Israel yang terus mengabaikan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan prinsip ketenteraan paling asas, di samping budaya bebas daripada hukuman, perlu ditangani segera oleh UNSC.

Beliau turut menyatakan bahawa peningkatan ketegangan serantau lebih luas termasuk perkembangan membabitkan Iran, membawa risiko besar terhadap keamanan antarabangsa dan kestabilan ekonomi, selain menjejaskan perdagangan global, tenaga serta keterjaminan makanan.

Yildiz berkata Turkiye menyokong penglibatan diplomatik yang sedang berlangsung, termasuk antara Amerika Syarikat dan Iran, serta usaha negara serantau untuk mengekalkan dialog dan mencegah ketegangan daripada terus memuncak.

-- BERNAMA-ANADOLU


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan