WILAYAH - UTARA > BERITA

Chithirai Pournami: CAP Gesa Penganut Elak Guna Plastik, Jangan Bazir Makanan

29/04/2026 12:25 PM

IPOH, 29 April (Bernama) -- Persatuan Pengguna (CAP) Pulau Pinang menggesa penganut Hindu yang meraikan Chithirai Pournami supaya mengelak menggunakan plastik dan tidak membazirkan makanan yang ditawarkan kepada mereka di gerai semasa festival itu, yang jatuh pada 1 Mei.

Pegawai Pendidikan Pengguna dan Alam Sekitar CAP N.V. Subbarow berkata Chithirai Pournami merupakan hari istimewa dalam kalendar Tamil Chithirai dan dijangkakan kira-kira 100,000 penganut dan pengunjung dari seluruh Malaysia, termasuk dari negara jiran bakal berkunjung ke kuil Sri Thandayuthabani di Teluk Intan, Perak.

"Organisasi yang menyediakan gerai makanan dan minuman percuma (thaneer panthals), serta penganut digesa mengelak menggunakan plastik guna sekali, bekas polistirena dan cawan semasa festival tersebut. 

"Sebaliknya, mereka dinasihatkan menggunakan pilihan seperti pinggan dan cawan yang boleh diguna semula, atau daun yang boleh terbiodegradasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Subbarow berkata pencemaran plastik telah menjadi salah satu ancaman alam sekitar yang paling mendesak kepada manusia dan planet ini dan ancaman daripada pengeluaran serta penggunaan plastik guna sekali merupakan kebimbangan serius terhadap kesihatan awam dan alam sekitar.

"Lebih banyak plastik yang digunakan dan dibuang dalam acara besar seperti semasa perayaan, lebih banyak sisa plastik akan bocor ke alam sekitar dan berakhir sebagai pencemaran.

"Alternatif kepada plastik sekali guna ialah plastik yang boleh diguna semula, mencuci peralatan makan, daun yang digunakan sebagai pinggan makan dan pembalut makanan, sambil membawa bekas sendiri untuk membungkus makanan, botol untuk mengisi semula minuman dan beg kain untuk membungkus barang-barang anda," katanya.

Subbarow berkata orang ramai juga perlu mengurangkan pembaziran makanan dengan mengurangkan saiz hidangan mereka dan berharap gerai yang menyediakan makanan dan minuman juga akan mengurangkan saiz hidangan dan hanya memberikan satu pek makanan setiap orang.

"Marilah kita menggunakan festival ini sebagai platform untuk menjaga alam sekitar dengan membebaskan diri kita daripada plastik dan produk guna sekali. Kita mesti meninggalkan bumi yang lebih bersih dan selamat untuk anak-anak kita," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan