WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PADAT Perluas Pendedahan Seni Telepuk Melalui Pameran, Bengkel

26/04/2026 03:21 PM

SEKINCHAN, 26 April (Bernama) -- Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) giat memperluas pendedahan seni telepuk kepada masyarakat, khususnya generasi muda menerusi pelbagai program pameran, demonstrasi dan latihan di seluruh negara.

Pegawai Penerangan PADAT Farhani Shamsudin berkata inisiatif itu penting bagi memastikan seni warisan tersebut terus dikenali dan tidak hilang ditelan zaman terutama dalam kalangan generasi baharu.

Beliau berkata seni telepuk ialah teknik hiasan tekstil tradisional Melayu yang telah lama wujud dan dahulunya sering digunakan oleh kerabat diraja serta golongan bangsawan.

“Di Selangor, penggunaan kain telepuk dikesan sejak zaman Daeng Chelak, iaitu ayahanda kepada Sultan Salehuddin Shah (Raja Lumu) sekali gus membuktikan seni ini mempunyai nilai sejarah tinggi dalam institusi kesultanan negeri,” katanya ketika ditemui di reruai pameran sempena Festival Sawah Padi Sekinchan 2026 yang berlangsung dua hari bermula semalam. 

Beliau berkata seni itu terus berkembang termasuk ketika pemerintahan Sultan Hisamuddin Alam Shah melalui peranan Tengku Ampuan Jemaah yang memperkenalkan inovasi pada alat telepuk daripada penggunaan kayu kepada ukiran logam.

Telepuk dihasilkan menggunakan penekap bermotif atau cap yang ditekap pada pad gam khas yang dibangunkan melalui inovasi. 

“Penekap kemudian diaplikasikan pada permukaan kain sebelum kepingan emas dilekatkan pada bahagian disapu gam dan seterusnya kepingan emas diberus secara perlahan dan halus bagi menghasilkan motif berkilau pada kain. 

“Proses ini memerlukan tahap ketelitian tinggi serta perlu dilakukan dalam persekitaran terkawal tanpa gangguan angin bagi memastikan hasil yang sempurna,” katanya.

Farhani berkata hasil akhir kain telepuk pula dijadikan tanjak, samping, selendang, kain ikat pinggang dan sapu tangan yang sering dipakai untuk menghadiri majlis rasmi di istana serta sebagai pakaian istiadat perkahwinan.  

Seiring dengan perkembangan semasa, beliau berkata PADAT turut melaksanakan inovasi dalam penghasilan cap telepuk dengan menggunakan teknologi computer numerical control (CNC) tanpa memerlukan proses ukiran secara manual. 

Walaupun kaedah itu lebih moden, Farhani berkata kehalusan seni ukiran tetap dipelihara sekali gus membolehkan penghasilan cap dalam jumlah lebih banyak dalam masa yang singkat tanpa menjejaskan nilai estetika tradisional.

Dalam usaha menarik minat orang ramai, PADAT menyediakan peluang kepada pengunjung untuk mencuba sendiri teknik telepuk secara langsung termasuk melalui program percuma atau bengkel berbayar pada kadar serendah RM5.

Beliau berkata PADAT telah menjalankan lebih 10 program pendedahan sepanjang tahun lepas di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor serta Pahang selain menerbitkan buku rujukan seperti Kesenian Telepuk Warisan Melayu Selangor dan Warisan Telepuk Alam Melayu hasil kajian dalaman.

Selain itu, PADAT juga menyiapkan sebuah Rumah Telepuk Selangor berhampiran Muzium Sultan Alam Shah sebagai langkah awal bagi mewujudkan pusat kegiatan dan pengembangan telepuk Selangor. 

Pengembangan telepuk Selangor itu selaras dengan hasrat Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin untuk menghidupkan semula Telepuk Selangor dan merakyatkan kegiatan itu di negeri tersebut. 

Beliau mengakui cabaran utama ketika ini ialah kekurangan penggiat baharu dalam kalangan generasi muda, justeru PADAT giat melatih petugas mereka sebagai langkah awal melahirkan tenaga pengajar sebelum memperluas latihan kepada orang awam.

Pengunjung Nor Nazihah Mustaffa Kamal, 25, berkata pernah mendengar tentang telepuk melalui pelancaran buku, namun hanya memahaminya dengan lebih jelas selepas menyaksikan demonstrasi secara langsung.

Penolong pustakawan itu berkata seni tersebut dilihat unik kerana berkait dengan penggunaan emas serta berbeza daripada songket atau tenunan lain.

“Pada saya, ini warisan negara yang patut diketengahkan dan diketahui ramai, khususnya generasi muda,” katanya yang turut mencuba demonstrasi telepuk di situ.

Adiknya, Nor Nasirafitri, 23, pula mengakui tidak pernah mengetahui tentang telepuk sebelum ini, namun tertarik selepas melihat corak dan teknik pembuatannya serta berpendapat seni itu wajar dipelihara dan diperluas pendedahannya kepada golongan muda.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan