WILAYAH - SARAWAK > BERITA

2,473 Kanak-kanak Usia Enam Tahun Masuk Darjah Satu Tahun Depan Di Melaka

29/04/2026 02:19 PM

MELAKA, 29 April (Bernama) -- Seramai 2,473 kanak-kanak berusia enam tahun akan memasuki Darjah Satu bermula tahun depan di Melaka, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah keseluruhan murid Tahun Satu bagi sesi tersebut sebanyak 15,541 orang termasuk 13,067 murid berusia tujuh tahun pada sesi persekolahan berkenaan.

“Walaupun dasar tersebut dijangka memberi kesan positif terhadap sistem pendidikan awal kanak-kanak namun beberapa cabaran utama dikenal pasti terutama membabitkan kapasiti sekolah dan kemudahan bilik darjah.

“Antara isu yang perlu diberi perhatian ialah keupayaan sekolah menampung pertambahan murid, khususnya di kawasan bandar dan sekolah yang sudah hampir mencapai kapasiti maksimum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Rahmad berkata antara langkah yang diambil oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka bagi mengatasi masalah tersebut ialah penyuraian murid ke sekolah berhampiran dalam lingkungan lima kilometer (km) sekiranya sesebuah sekolah tidak mampu menampung kapasiti sedia ada.

Selain itu, katanya, JPN Melaka turut mengenal pasti ruang tidak digunakan di sekolah seperti bilik stor dan bilik sokongan untuk diubah suai menjadi bilik darjah sementara bagi menampung keperluan segera.

“Kerja naik taraf dan penambahan bilik darjah menggunakan kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) juga sedang dirancang bagi memastikan kemudahan pendidikan dapat disediakan dengan lebih pantas dan efisien.

“Langkah terakhir yang akan diambil adalah pelaksanaan sekolah dua sesi sekiranya semua langkah lain tidak dapat menyelesaikan isu kapasiti, namun setakat ini ia masih belum diperlukan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan