WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Penutup Simen Pecah, Pelajar Terjatuh Ke Dalam Perigi Di Wakaf Bharu

26/04/2026 04:04 PM

KOTA BHARU, 26 April (Bernama) -- Seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun cedera ringan di kepala dan badan selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam lebih tujuh meter di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Wakaf Bharu, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Azmi Sulaiman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.12 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera LFRT dikejarkan ke lokasi.

“Pasukan tiba kira-kira 11 minit kemudian dan mendapati mangsa berada di dalam perigi. Operasi menyelamat segera dijalankan menggunakan peralatan khas termasuk tali dan tangga,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata mangsa, Wan Ahmad Mukhlis Wan Md Fadhli, berjaya dikeluarkan dengan selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan sebelum diserahkan kepada petugas kesihatan untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan maklumat awal, mangsa dipercayai duduk di atas penutup perigi yang diperbuat daripada simen sebelum struktur itu pecah kerana tidak dapat menampung berat badan mangsa.

Katanya, perigi berkenaan sebelum ini digunakan sebagai sumber air bawah tanah oleh pihak sekolah, namun sudah lama tidak lagi digunakan.

Operasi berjaya dikawal pada 9.34 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada 10.00 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan