PUTRAJAYA, 29 April (Bernama) -- Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini melakar satu lagi pencapaian penting apabila melancarkan Akaun Pindahan Negara (NTA) satu inisiatif baharu yang dijangka memperkukuh perancangan dasar negara melalui pendekatan berasaskan bukti.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata NTA merupakan kaedah sistematik yang mengukur pendapatan dan penggunaan pada pelbagai peringkat umur penduduk serta bagaimana ahli pelbagai generasi menyara antara satu sama lain.
“NTA boleh digunakan sebagai kaedah dalam membentuk polisi berteraskan bukti bagi menangani kesan perubahan struktur umur penduduk dengan lebih berkesan,” katanya menerusi ucapan beliau pada majlis pelancaran NTA, di sini, hari ini.
Mohd Uzir berkata DOSM merupakan Jabatan Perangkaan Negara (NSO) ketiga yang menerbitkan NTA selepas Korea Selatan dan Colombia.
“Kita akan terus memperhebatkan visibility (kedudukan) kita diperingkat antarabangsa termasuklah cadangan untuk kita mewujudkan City Group NTA,” katanya sambil menambah, pembangunan NTA di Malaysia telah bermula sejak 2014.
Dalam satu kenyataan berasingan, DOSM memaklumkan pihaknya menerbitkan NTA Malaysia, 2022 berdasarkan rangka kerja dan teknik pemodelan yang diadaptasi daripada National Transfer Accounts Manual: Measuring and Analysing the Generational Economy, United Nation, 2013.
NTA yang dibentangkan dalam penerbitan ini disusun berdasarkan data daripada Anggaran Penduduk Pertengahan Tahun, Akaun Ekonomi Negara, Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah dan rekod daripada pelbagai agensi serta sumber lain yang berkaitan.
DOSM memaklumkan NTA Malaysia 2022 menunjukkan lebihan pendapatan berbanding penggunaan oleh pekerja bermula pada umur 29 tahun dengan lebihan tertinggi pada umur 44 tahun bernilai RM14,523 pper kapita setahun.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial