WILAYAH - UTARA > BERITA

Mesut Ozil Jumpa Peminat Di Pulau Pinang, Kongsi Gemar Makanan Pedas

29/04/2026 07:02 PM

GEORGE TOWN, 29 April (Bernama) -- Lebih 500 peminat bola sepak teruja apabila berpeluang bertemu bintang terkenal, Mesut Ozil dalam sesi ‘Meet and Greet with Fan Club’ di Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, hari ini.

Kehadiran bekas pemain Arsenal FC dan Real Madrid CF itu disambut meriah dengan sorakan peminat yang setia menanti meskipun dalam cuaca panas, semata-mata untuk melihat idola mereka dari dekat.

Program yang berlangsung hampir setengah jam itu dimulakan dengan sesi santai bersama pengulas sukan terkenal, Zainal Abidin Rawop, yang menyentuh pelbagai aspek termasuk perjalanan karier serta pengalaman Ozil sepanjang berada di Malaysia, selain perancangannya pada masa depan.

Berkongsi pengalamannya di negara ini, Özil berkata beliau amat menikmati kunjungannya ke Malaysia, khususnya di Pulau Pinang yang terkenal dengan kepelbagaian makanan.

“Saya suka makanan di sini, terutama hidangan berkuah dan bercita rasa pedas. Di Pulau Pinang, terdapat pelbagai masakan dengan rempah yang kaya dan rasa pedas. Saya pasti mahu mencuba lebih banyak lagi kerana saya memang gemar makanan pedas,” katanya.

Mengimbas perjalanan kariernya, Ozil yang dikenali sebagai pakar  bantuan gol (assist’) berkata matlamat utamanya di atas padang adalah membantu rakan sepasukan mencapai kejayaan.

Ozil turut berkongsi hasrat untuk membuka akademi bola sepak di Istanbul, Turkiye bagi membantu pembangunan bakat muda di negara asalnya.

“Insya-Allah,saya akan membuka akademi di Istanbul. Matlamat saya sekarang adalah membantu golongan muda. Saya tidak lagi mahu berada dalam arena profesional kerana ia memerlukan perjalanan yang kerap,” katanya.

Pada sesi itu, seramai 50 peminat bertuah turut berpeluang menyertai sesi khas mendapatkan tandatangan daripada Ozil.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan iimbalannya Adam Adli Abdul Halim serta Naib Canselor USM Prof Datuk Seri Dr Abdul Rahman Mohamed turut hadir memeriahkan program berkenaan.

Usai ‘Meet and Greet’, bekas pemain profesional Jerman berketurunan Turki itu seterusnya menghadiri klinik bola sepak klinik bola sepak yang disertai murid sekolah rendah sekitar Pulau Pinang.

Ozil berada di Malaysia sejak Ahad lepas bagi menghadiri beberapa program di ibu negara serta di Pulau Pinang sempena Mesyuarat Kedua Jawatankuasa Bersama Malaysia-Turkiye berkaitan pendidikan tinggi.

Beliau dijadualkan menghadiri Klinik Bola Sepak bersama Mesut Ozil di Perak, esok.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan