WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Malaysia, Slovakia Perkukuh Hubungan, Bincang Kerjasama Lebih Erat

29/04/2026 08:42 PM

KUALA LUMPUR, 29 April (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari Slovakia, Juraj Blanár, mengesahkan semula hubungan mesra antara Malaysia dan Slovakia, pada Rabu selain meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama dua hala.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kedua-dua menteri itu bertemu dalam mesyuarat dua hala di Putrajaya bagi membincangkan peningkatan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, daya tahan rantaian bekalan, industri automotif, tenaga bersih serta pengurusan air.

“Kedua-dua pihak turut bertukar-tukar pandangan mengenai hubungan Malaysia - Kesatuan Eropah (EU) serta perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kementerian itu, yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, pada Rabu.

Kedua-dua menteri juga bersetuju untuk mengadakan Perundingan Dua Hala sulung di peringkat Pegawai Kanan antara kementerian luar masing-masing tahun ini sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh penglibatan institusi antara kedua-dua negara.

Blanár, yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bermula Selasa, sebelum itu melakukan kunjungan hormat ke atas Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr Johari Abdul di Parlimen dan merasmikan pembukaan semula Kedutaan Republik Slovak di Kuala Lumpur.

Pada 2025, jumlah perdagangan dua hala berjumlah RM1.22 bilion, dengan Malaysia mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM575.07 million.

Eksport utama Malaysia ke Slovakia terdiri daripada produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan dan alat ganti, serta barangan perkilangan logam.

Import utama dari Slovakia pula merangkumi jentera, peralatan dan alat ganti, produk E&E serta peralatan pengangkutan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan