WILAYAH - SARAWAK > BERITA

UKM Rangkul Anugerah Pengurusan Harta Intelek Terbaik AHIN 2026

30/04/2026 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 30 April (Bernama) -- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menerima Anugerah Organisasi Terunggul (Pengurusan Harta Intelek Terbaik) pada Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2026 (AHIN) yang dianjurkan oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Pencapaian ini meletakkan UKM sebagai satu-satunya institusi pengajian tinggi (IPT) yang tersenarai sebagai finalis bagi kategori tersebut yang dianugerahkan pingat Perak. Dalam kategori yang sama, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) merangkul pingat emas dan syarikat animasi Monsta Sdn Bhd memperoleh pingat gangsa.

Pengarah Pusat Inovasi dan Pemindahan Teknologi (INOVASI-UKM) Prof Dr Sawal Hamid Md Ali berkata pengiktirafan itu membuktikan keupayaan universiti mengurus ekosistem inovasi secara sistematik sehingga mampu menembusi pasaran industri.

“Penilaian bagi anugerah ini merangkumi keseluruhan ekosistem pengurusan inovasi, bermula daripada proses pendaftaran harta intelek sehinggalah kepada usaha peningkatan nilai dan penskalaan ke arah pengkomersialan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata antara aspek yang dinilai ialah keupayaan institusi mengurus pendaftaran harta intelek secara sistematik, memperkasakan hasil penyelidikan melalui program pembangunan kapasiti serta memastikan inovasi yang dihasilkan dapat diterjemahkan kepada produk atau teknologi yang berpotensi untuk dipasarkan.

Sementara itu, Pakar Ortopedik UKM Prof Dr Mohd Yazid Bajuri turut mengharumkan nama universiti apabila meraih pingat gangsa bagi Anugerah Wira Inovatif (Paten) menerusi produk MyB Prosthetic Limb.

Beliau berkata MyB Prosthetic Limb merupakan inovasi dalam bidang prostetik dan ortotik yang direka khusus untuk individu dengan amputasi bawah lutut melalui syarikat pemula, MyB Innovation Sdn Bhd.

“Prostetik ini dilengkapi fungsi pergerakan pada sendi buku lali bagi membolehkan pergerakan lebih fleksibel dan semula jadi. Dengan adanya fungsi ini, pengguna lebih mudah melakukan pergerakan di lantai seperti solat, yoga dan aktiviti harian lain,” katanya.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

-- BERNAMA 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan