Oleh Shakir Husain
HYDERABAD, 1 Mei (Bernama) -- Kepakaran Malaysia dalam sektor makanan dan pertanian sejajar dengan keperluan Algeria, namun syarikat tempatan masih terlepas peluang dalam pasaran utama Afrika Utara itu, kata Duta Besar Malaysia ke Algeria, Datuk Rizany Irwan Muhamad Mazlan.
Beliau berkata keadaan itu berlaku kerana firma Malaysia masih tertumpu kepada komoditi yang terhad dan belum memahami sepenuhnya potensi industri makanan Algeria yang semakin berkembang, seperti yang terbukti melalui penyertaan sederhana mereka pada pameran perdagangan agromakanan antarabangsa Djazagro di Algiers baru-baru ini.
“Syarikat Malaysia perlu menawarkan penyelesaian makanan bersepadu, menggabungkan teknologi pembungkusan, bahan tambahan yang diperakui halal dan jentera pemprosesan automatik untuk bersaing dengan syarikat Eropah,” katanya kepada Bernama.
Rizany Irwan berkata Malaysia mempunyai “piawaian emas” dalam pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), yang boleh menjadi alat pemasaran berkesan ketika sektor makanan Algeria yang semakin berkembang mewujudkan peluang baharu dalam pengeluaran dan pengedaran tempatan.
Kehadiran Malaysia di Djazagro terhad kepada Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan empat syarikat minyak sawit.
Pameran perdagangan itu menarik penyertaan 700 pempamer dari 28 negara, dengan syarikat asing merangkumi 73 peratus, kata diplomat itu.
Sesi rangkaian perniagaan anjuran Kedutaan Besar Malaysia menunjukkan ketidakpadanan yang ketara, apabila hanya empat pembekal Malaysia berinteraksi dengan 58 badan perdagangan dan syarikat Algeria yang terlibat dalam pembuatan, import, pengedaran dan pemprosesan makanan.
“Ini menunjukkan industri Malaysia belum memanfaatkan potensinya. Penyertaan kita pada masa depan perlu melangkaui tumpuan kepada minyak sawit semata-mata,” kata Rizany Irwan sambil menambah sekurang-kurangnya 15 syarikat Malaysia perlu menyertai edisi 2027 bagi mendekati segmen makanan utama Algeria dengan lebih baik seperti bakeri, industri penggorengan dan peruncitan.
Duta besar itu berkata Malaysia juga boleh menggabungkan khidmat perundingan integriti halal dengan eksport jentera dan bahan ramuan bagi memperoleh kelebihan daya saing berbanding pemain utama Eropah di Algeria.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial