WILAYAH - SELATAN > BERITA

Pakej 1 RTB Sungai Muar Fasa Tiga Capai Kemajuan 35 Peratus, Dijangka Siap 2029

01/05/2026 04:45 PM

SEGAMAT, 1 Mei (Bernama) -- Pakej 1 Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Muar Fasa 3  yang melibatkan jajaran sepanjang 25 kilometer, di sini, kini mencapai kemajuan pelaksanaan melebihi 35 peratus dan dijangka siap ada Julai 2029.

Timbalan Menteri Perpaduan Negara R Yuneswaran yang juga Ahli Parlimen Segamat berkata kira-kira 22,000 penduduk dijangka mendapat manfaat daripada projek itu kelak, meliputi mereka yang tinggal di Kampung Seberang Batu Badak, Kampung Pogoh dan Kampung Chodan serta kawasan berhampiran yang sering terdedah kepada banjir. 

“Isu banjir bukan perkara baharu bagi daerah Segamat. Daerah ini telah beberapa kali berdepan bencana banjir besar, termasuk kejadian pada 2006 dan antara yang paling buruk pada  2023.

"Justeru, pelaksanaan projek tebatan banjir berskala besar oleh Kerajaan Persekutuan ini merupakan satu usaha penting bagi memberi perlindungan dan kelegaan kepada penduduk setempat,” katanya dalam satu kenyataan susulan tinjauan beliau ke projek berkenaan semalam.

Projek RTB itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM558.98 juta dengan skop utama merangkumi kerja pembersihan tapak, kerja tanah, pelebaran dan pendalaman sungai, kerja sungai by-pass, pembinaan benteng serta pembinaan outlet structure.

Beliau berkata Pakej 2 projek berkenaan di Sungai Jementah pula dijangka siap tahun depan, lebih awal berbanding jadual asal pada 2029.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan