WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Liga Super: Imigresen FC Benam DPMM FC 3-1 Di Kangar

04/05/2026 12:14 AM

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- Imigresen FC bangkit daripada ketinggalan awal untuk mencatat kemenangan 3-1 ke atas DPMM FC dalam aksi Liga Super 2025-26 di Stadium Tuanku Syed Putra di Kangar, Perlis malam ini.

Hujan renyai pada awal permainan sedikit menjejaskan rentak kedua-dua pasukan, namun DPMM FC terlebih dahulu mencemaskan tuan rumah apabila berjaya membuka jaringan menerusi Jordan Murray pada minit ke-10. 

Imigresen FC bagaimanapun tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan apabila Wilmar Jordan membolosi gawang pasukan pelawat pada minit ke-13, sebelum Fadzrul Danel Nizam meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan pada minit ke-51.

Bersambung babak kedua, Imigresen FC dilihat lebih menguasai permainan apabila Mohammad Fayadh Mohd Zulkifli Amin menambah gol ketiga pada minit ke-90, sekali gus mengukuhkan kedudukan tuan rumah.

Pengadil Mohammad Zamzaidi Katimin meniup wisel penamat sejurus tamat perlawanan untuk mengesahkan kemenangan 3-1 Imigresen FC. 

Keputusan itu menyaksikan Imigresen FC kekal di tangga keenam carta Liga Super dengan 28 mata manakala DPMM di tangga kelapan dengan 23 mata. 

Sementara itu, aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) terlepas peluang meraih tiga mata penuh di laman sendiri selepas seri tanpa jaringan menentang Melaka FC.

Permainan bermula seimbang dengan kedua-dua pasukan saling mengasak dan mencari rentak untuk mendapatkan gol pendahuluan, namun ketumpulan penyudah dan kekentalan pertahanan masing-masing menyaksikan tiada jaringan dihasilkan hingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, NSFC meningkatkan intensiti serangan dengan beberapa gerakan berbahaya, namun peluang terbaik untuk berada di hadapan disia-siakan apabila Joseph Esso gagal menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-67, sekali gus meranapkan harapan tuan rumah untuk mendahului perlawanan.

Skuad Hobin Jang Hobin terus memberi tekanan dan hampir membuka jaringan pada minit ke-78 menerusi percubaan Takumi Sasaki tetapi rembatan derasnya sekadar singgah di tiang gol. 

Kedudukan 0-0 kekal hingga wisel penamat menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan