WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Navcent AS Nasihat Kapal Guna Perairan Oman Untuk Lintasi Selat Hormuz

05/05/2026 08:17 AM

WASHINGTON, 4 Mei (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- Markas Angkatan Tentera Laut Amerika Syarikat (NAVCENT) pada Isnin menasihatkan kapal yang ingin merentasi Selat Hormuz supaya menggunakan perairan wilayah Oman, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Ahad malam, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Projek Freedom bagi membantu kapal yang terkandas di selat itu serta memudahkan pergerakan keluar mereka dengan selamat. 

Markas Pusat Pemerintahan Amerika Syarikat (CENTCOM) memaklumkan yang sokongan ketenteraan untuk inisiatif itu merangkumi kapal pembinasa dilengkapi peluru berpandu, lebih 100 pesawat darat dan laut, platform tanpa pemandu pelbagai domain, serta 15,000 anggota perkhidmatan. Operasi bermula pada pagi Isnin.

“Kapal yang memilih untuk melalui Selat Hormuz disaran mempertimbangkan laluan melalui perairan wilayah Oman di selatan Skim Pemisahan Trafik. Disebabkan jangkaan jumlah trafik tinggi, koordinasi dengan pihak berkuasa Oman melalui saluran VHF 16 adalah digalakkan bagi memastikan keselamatan pelayaran,” menurut kenyataan NAVCENT.

NAVCENT turut memberi amaran yang pelayaran berhampiran Skim Pemisahan Trafik membawa risiko besar, khususnya disebabkan kehadiran periuk api laut yang masih belum dipetakan sepenuhnya atau dinyahaktifkan.

“Pengendali digalakkan menilai risiko dengan teliti serta merancang laluan sebelum transit,” katanya.

Pada 28 Feb, Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan ke atas sasaran di Iran, termasuk di Tehran, yang menyebabkan kerosakan dan meragut nyawa orang awam. Iran kemudian membalas dengan menyerang wilayah Israel dan kemudahan tentera AS di Asia Barat.

Ketegangan ini membawa kepada sekatan  di Selat Hormuz, laluan penting bagi penghantaran minyak dan gas asli cecair dari negara Teluk Parsi ke pasaran global, sekali gus mendorong kenaikan harga bahan api itu.

Pada 8 April, Washington dan Tehran mengumumkan gencatan senjata selama dua minggu. Rundingan susulan di Islamabad berakhir tanpa keputusan muktamad, tanpa sebarang penyambungan semula konflik dilaporkan, namun AS memulakan sekatan sendiri ke atas pelabuhan Iran. Usaha sedang dijalankan oleh pihak pengantara untuk menganjurkan pusingan rundingan baharu.

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan