ISKANDAR PUTERI, 6 Mei (Bernama) -- Rangka Kerja Insentif Baharu (NIF) yang diperkenalkan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan berkuat kuasa pada 1 Mac lepas menjadi titik perubahan penting dalam pendekatan negara terhadap strategi pelaburan sektor perkilangan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri, Lee Ting Han berkata, kerangka baharu itu menandakan peralihan daripada model insentif tradisional berasaskan jumlah pelaburan kepada pendekatan berasaskan hasil (outcome-based), dengan penekanan terhadap impak ekonomi sebenar.
Beliau berkata melalui NIF, hanya projek yang mampu menjana nilai tambah tinggi, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi mampan akan dipertimbangkan untuk menerima insentif.
“Ini merupakan isyarat jelas bahawa Malaysia tidak lagi bersaing semata-mata berdasarkan kos, sebaliknya memberi keutamaan kepada kualiti pelaburan serta nilai yang dibawa kepada ekonomi dan rakyat,” katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, hari ini.
Lee berkata perkembangan itu menunjukkan cabaran sebenar kini bukan lagi sekadar menarik pelaburan, tetapi memastikan setiap kemasukan pelaburan mampu memberi impak ekonomi tinggi dan berpanjangan.
“Pendekatan ini turut melibatkan sistem pemarkahan yang menilai sumbangan sebenar sesuatu pelaburan merentasi kesemua teras berkenaan, sekali gus memastikan hanya pelaburan berkualiti tinggi diberi insentif,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata di peringkat negeri, pihaknya juga telah bergerak ke arah memperkukuh perusahaan kecil dan sederhana dengan pendekatan lebih strategik.
“Kita tidak lagi melihat pembangunan PKS secara organik semata-mata, tetapi melalui pemetaan rantaian nilai, pemadanan vendor tempatan dengan pelabur serta pembangunan vendor secara sistematik.
Ini memastikan syarikat tempatan bukan sekadar berada di pinggiran, tetapi menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global,” katanya.
Lee berkata ketika ini Johor menyaksikan momentum belum pernah berlaku sebelum ini dengan menarik pelaburan sebanyak RM70.6 bilion pada 2022, diikuti RM43 bilion pada 2023, RM48.5 bilion pada 2024 dan melonjak kepada RM110 bilion pada tahun lepas.
”Secara keseluruhannya, jumlah ini telah melebihi RM272 bilion dan berjaya mewujudkan lebih daripada 85,000 peluang pekerjaan baharu,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial