WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Anwar Dan Kenangan Seorang Anak Nelayan Pulau Banggi

09/05/2026 10:14 AM

KUDAT, 9 Mei (Bernama) -- Datuk Mohammad Mohamarin masih mengingati detik lebih tiga dekad lepas, ketika anak nelayan itu berpeluang bertemu seorang pemimpin negara serta mendengar ucapan penuh semangat pada majlis peletakan batu asas bangunan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Banggi di Pulau Banggi dekat sini.

Pada November 1994, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan antara lain meninggalkan pesanan supaya belajar bersungguh-sungguh, sekali gus memberi inspirasi kepada beliau dan rakan lain untuk mengubah nasib diri serta keluarga.

Mohammad, 45, yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi selama tiga penggal berkata kenangan itu sentiasa tersemat dalam dirinya hingga menjadi antara titik permulaan perjuangan beliau hari ini untuk mengubah nasib penduduk di kawasan berkenaan.

Beliau yang merupakan antara kumpulan pertama pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sekolah itu pada 1997, berkongsi bahawa tidak ramai pelajar mengenali Anwar ketika itu berikutan kurangnya pendedahan media di kawasan berkenaan, namun amat teruja dengan kehadiran seorang pemimpin negara.

"Ketika itu tidak ramai orang luar apa lagi pemimpin datang ke Pulau Banggi. Jadi, masa itu kita penuh semangat hadir bertemu dan mendengar sendiri ucapan Datuk Seri (Anwar). Saya duduk betul depan pentas ketika itu.

"Datuk Seri datang kembali tentu rasa gembira dan teruja, ini juga peluang untuk Datuk Seri melihat sendiri kesan usaha beliau dahulu untuk Pulau Banggi dan apa yang diperlukan untuk masa kini dan hadapan," katanya kepada Bernama.

Anwar yang tiba di Kota Kinabalu malam tadi dari Filipina, dijadual mengadakan lawatan ke Pulau Banggi hari ini antara lain melawat SMK Banggi dan menghadiri majlis ramah mesra dengan masyarakat tempatan.

Sebagai anak jati Kampung Patanunan dan membesar di Kampung Perpaduan di sini, kehidupan serba kekurangan banyak mematangkan Mohammad, malah beliau sanggup berjalan tiga kilometer ke sekolah demi menuntut ilmu.

"Saya orang susah. Bayangkan kalau setiap cuti sekolah kita akan turun laut tinggal di laut empat hingga lima hari. Jadi untuk merubah kehidupan itu, satu daripada jalannya ialah melalui pendidikan," katanya yang juga Pengerusi Sabah Fish Marketing Sdn Bhd (SAFMA) sebuah anak syarikat kerajaan negeri.

Justeru, beliau melihat SMK Banggi yang juga satu-satunya sekolah menengah di pulau itu sebagai institusi penting dalam merealisasikan impian tersebut, selain mempunyai tempat cukup istimewa di hatinya sehingga beliau sendiri pernah menjadi antara individu menanam rumput bagi menghijaukan kawasan sekolah berkenaan.

Memahami sepenuhnya keperitan hidup masyarakat kepulauan itu, Mohammad bertekad untuk membela nasib mereka bermula dengan menabur bakti sebagai guru, mendidik anak-anak masyarakat di kawasan pulau serta sekitar Kudat selama lebih 10 tahun.

Karier awal beliau bermula pada 2006 sebagai guru di SK Balambangan bertempat di Pulau Balambangan, sebuah pulau berdekatan dengan Pulau Banggi sebelum dipindahkan ke sekolah sekitar daerah Kudat.

Beralih ke gelanggang politik sekitar 2017, Mohammad menjadikan agenda pemerkasaan pendidikan sebagai keutamaan pentadbirannya kerana menyedari ia adalah kunci untuk mengeluarkan masyarakat daripada kepompong kemiskinan.

Bagi menterjemahkan komitmen itu, Pejabat ADUN Banggi kini mewujudkan inisiatif sumbangan tunai secara terus sebanyak RM500 kepada setiap anak Banggi yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

Penolong Pegawai Daerah Banggi Jaslee Jaafar berkata menerusi beberapa siri mesyuarat penyelarasan bersama agensi terlibat, pihaknya melihat ia sebagai satu peluang keemasan untuk mengetengahkan pelbagai isu kemudahan setempat bagi perhatian Kerajaan Persekutuan.

"Keperluan utama di pulau itu melibatkan infrastruktur asas kritikal seperti bekalan air, elektrik dan pembinaan jalan raya berskala besar melibatkan kos pelaksanaan yang agak tinggi serta di luar kemampuan kewangan Kerajaan Negeri,” katanya.

Justeru, beliau berharap Kerajaan Persekutuan dapat membantu menyelesaikan isu tersebut, apatah lagi bantuan pembangunan yang diturunkan ke Banggi baru-baru ini dilihat sangat seimbang merangkumi aspek infrastruktur, pendidikan serta keselamatan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan