KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Pembangunan dron kamikaze buatan tempatan, Todak, keluaran Mindmatics Sdn Bhd telah memasuki fasa akhir dan bersedia untuk penerbangan ujian rasmi pertamanya bulan depan.
Ketua Projek Mindmatics Syed Firdaus Sayed Rohani berkata penerbangan ujian berkenaan bertujuan menguji kemampuan sebenar dron itu ketika beroperasi.
"Aspek yang akan diuji dalam penerbangan cubaan berkenaan kelak antaranya melibatkan jarak operasi penerbangan, kelajuan, tempoh operasi dan kemampuan dron berkenaan membawa kepala peledak," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Syed Firdaus berkata Todak buat kali pertama dipamerkan kepada umum pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia 2024 (DSA 2024).
Beliau berkata dron tersebut boleh membawa kepala peledak hingga 0.5 kilogram dengan keupayaan terbang ke sasaran sejauh 75 kilometer.
Beliau berkata Todak direka sebagai peluru pintar (smart munition) dengan keupayaan menyerang sasaran secara tepat, sama ada pegun atau bergerak.
“Dron ini dilengkapi dengan algoritma kecerdasan buatan (AI) serta unit kawalan tembakan bersaiz kecil bagi meningkatkan ketepatan serangan dan mempunyai masa operasi hingga 40 minit, dan dron ini juga mencerminkan kemajuan keupayaan tempatan.
“Keupayaannya membawa beban letupan serta dilancarkan melalui sistem catapult menjadikannya fleksibel dalam pelbagai senario operasi,” katanya.
Syed Firdaus berkata Todak telah bersedia untuk menjadi aset baharu atau aset masa hadapan pasukan pertahanan bagi memastikan pertahanan negara lebih moden dan berkemampuan.
“Dron kamikaze bukan lagi pilihan, tetapi keperluan strategik dalam menghadapi ancaman masa depan dan angkatan pertahanan negara perlu bergerak seiring dengan perubahan ini bagi memastikan kesiapsiagaan kekal relevan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial