WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Projek ART Dilulus, Bukti K'jaan Persekutuan Berperanan Bangunkan Sektor Pengangkutan Johor - Loke

17/05/2026 06:19 PM

JOHOR BAHRU, 17 Mei (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan memainkan peranan penting dalam membangunkan negeri Johor, khususnya dalam memperkukuh ketersambungan dan sistem pengangkutan, termasuk melalui projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) bernilai lebih RM10 bilion yang diluluskan Kabinet, baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata projek yang menelan kos seumpama itu bagi menyokong perkhidmatan Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru–Singapura, memerlukan penelitian dan kajian menyeluruh sebelum dilaksanakan.

“Ada pihak kata kita lambat (untuk luluskan), tentulah kita kena ambil masa untuk kaji. Ini bukan projek RM10,000, (tetapi) RM10 bilion, kena ambil masa sedikit untuk teliti, macam mana kita hendak laksanakan.

“Tetapi sementara belum ada ART, kita ada pelan sandaran, kita tambah bas dekat Johor Bahru untuk disperse penumpang-penumpang RTS Link,” katanya.

Loke yang juga Timbalan Pengerusi PH berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen PH di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini, yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan PH.

Setiausaha Agung DAP itu berkata projek RTS Link yang hampir 90 peratus siap itu juga berupaya dilaksanakan hasil sokongan penuh Perdana Menteri dan Kementerian Pengangkutan, terutama dalam membantu menyelesaikan isu tanah dan kontraktor bermasalah.

Beliau berkata RTS Link yang dijangka beroperasi pada Januari tahun depan bakal menjadi pemangkin kepada pelbagai projek pembangunan di Johor, sekali gus membawa kepada ketersambungan sistem pengangkutan Johor Bahru–Singapura.

Pembangunan pengangkutan di Johor juga katanya, dapat dilihat menerusi beberapa projek lain yang berjaya dilaksanakan di bawah pimpinan Perdana Menteri, termasuk projek Landasan Berkembar Gemas–Johor Bahru, perkhidmatan tren elektrik (ETS) Johor Bahru Sentral (JB Sentral)–Segamat serta usaha memastikan kelancaran di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di pintu masuk sempadan negeri itu.

Sehubungan dengan itu, Loke berkata pencapaian dan pembangunan pesat Johor yang didorong oleh Kerajaan Persekutuan perlu diketengahkan kepada rakyat apabila memasuki gelanggang pilihan raya negeri akan datang.

Pada Disember tahun lepas, Loke berkata kelulusan bagi projek ART sedang dalam perbincangan dan perincian berkaitan pelaksanaannya akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

ART yang dicadang di Johor Bahru melibatkan 32 stesen dengan jajaran melebihi 50 kilometer dan pada awalnya dianggarkan menelan kos kira-kira RM7 bilion.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan