BANGKOK, 19 Mei (Bernama) -- Ekonomi Thailand berkembang 2.8 peratus pada suku pertama 2026, meningkat daripada 2.5 peratus pada suku sebelumnya, menandakan pemulihan berterusan walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi global.
Jurucakap kerajaan Ratchada Thanadirek berkata Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Anutin Charnvirakul mengalu-alukan angka terkini yang dikeluarkan oleh Pejabat Majlis Pembangunan Sosial dan Ekonomi Nasional (NESDC) itu.
“Pertumbuhan yang lebih kukuh menunjukkan bahawa dasar pengurusan ekonomi kerajaan yang diperkenalkan sejak mengambil alih pentadbiran menuju ke arah yang tepat, manakala langkah yang dilaksanakan baru-baru ini telah mula memberikan hasil yang ketara,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Baru-baru ini, NESDC melaporkan bahawa ekonomi Thailand berkembang sebanyak 2.8 peratus pada suku pertama 2026, meningkat daripada 2.5 peratus pada suku keempat 2025.
Menurut NESDC, pengembangan itu didorong oleh perbelanjaan kerajaan yang dipercepatkan, pelaburan swasta yang kukuh dan penambahbaikan kawal selia, bertujuan mengurangkan halangan pelaburan dan meningkatkan keyakinan perniagaan.
Ratchada berkata prospek ekonomi yang semakin baik turut dipamerkan dalam keyakinan pengguna yang lebih tinggi dan penilaian kredit antarabangsa yang lebih baik.
Beliau berkata Moody’s telah menyemak semula prospek Thailand daripada ‘Negatif’ kepada ‘Stabil’, dengan memetik daya tahan negara yang lebih baik terhadap kejutan ekonomi global berbanding pasaran membangun utama yang lain.
Dalam pada itu, NESDC melaporkan bahawa jumlah pelaburan meningkat 9.9 peratus semasa suku itu, menandakan pertumbuhan lebih kukuh dalam tempoh 44 suku, manakala pelaburan swasta melonjak 10.1 peratus, terutamanya didorong oleh perbelanjaan terhadap jentera dan teknologi.
Eksport juga kekal kukuh, terutamanya produk berkaitan perindustrian dan teknologi, dengan kerajaan merancang untuk meneroka pasaran baharu di Afrika dan Asia Barat bagi mempelbagaikan risiko perdagangan dan mewujudkan peluang untuk perniagaan Thailand.
Ratchada menambah bahawa kerajaan akan meneruskan langkah-langkah bagi mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk skim ‘Thais Helping Thais Plus’, yang telah disemak semula kepada model ‘kerajaan membayar 60, orang ramai membayar 40’, bertujuan menyokong perniagaan kecil dan ekonomi di peringkat akar umbi di seluruh negara.
Beliau berkata Thailand telah berdepan dengan cabaran luaran yang besar sejak Anutin mengambilalih pentadbiran pada suku terakhir 2025, termasuk ketidaktentuan berkaitan dengan dasar tarif Amerika Syarikat, konflik geopolitik dan krisis tenaga global.
Walaupun ketidaktentuan global berterusan, beliau melahirkan keyakinan bahawa langkah di bawah dekri pinjaman kecemasan, di samping inisiatif peralihan tenaga dan program rangsangan yang lain, akan membantu mengekalkan pertumbuhan ekonomi dan membolehkan Thailand mencapai sasaran pertumbuhan 2026 sebanyak dua peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial