SEPANG, 19 Mei (Bernama) -- Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) mengesahkan 25 rakyat Malaysia yang berada di 15 kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 antara yang ditahan selepas puluhan kapal bantuan kemanusiaan dilaporkan dipintas tentera laut rejim Zionis Israel (IOF) ketika dalam pelayaran menuju ke Gaza.
Ketua Pengarah SNCC Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata sebanyak 40 kapal flotila yang melibatkan hampir 350 aktivis kemanusiaan telah dipintas dan diceroboh setakat 3 petang tadi.
Beliau berkata SNCC masih belum menerima pengesahan tentang status serta lokasi semua aktivis yang ditahan, termasuk sama ada mereka masih berada di laut atau telah dibawa ke pelabuhan Ashdod.
"SNCC menerima laporan visual mengesahkan semua aktivis telah diculik keluar dari kapal masing-masing secara paksa ke empat kapal tentera pihak rejim.
"Sehingga kini, SNCC masih belum menerima pengesahan mengenai status kesemua aktivis yang ditahan, termasuk lokasi dan destinasi pemindahan mereka selepas insiden pintasan berlaku," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Sani Araby berkata SNCC sedang memantau rapat dua kemungkinan lokasi pemindahan aktivis flotila bantuan kemanusiaan yang ditahan pihak rejim Israel, sama ada menuju ke Greece atau pelabuhan Ashdod.
Beliau berkata senario pertama berdasarkan maklumat awal yang mendakwa kapal tentera rejim Israel yang membawa aktivis terbabit sedang bergerak ke arah Greece, manakala senario kedua pula menurut pengumuman Menteri Luar Itali Antonio Tajani yang menjangkakan kapal-kapal berkenaan akan tiba di pelabuhan Ashdod esok.
"Ada kemungkinan Israel cuba mengalih perhatian dan sehingga kini kita masih belum mendapat kepastian ke mana sebenarnya mereka akan dibawa," katanya dan menambah kedua-dua kemungkinan itu mempunyai kebarangkalian tinggi.
Sani Araby berkata kapal yang telah dipintas dan ditahan IOF ialah Cactus, Marilyn, Jandabar, Holy Blue, Sadabad, Zio Faster, Blue Toys, Kyriakos, Josef, Barbaros, Tenaz, Ozgurluk, Isobella, Amanda, Umut, Furleto, Boralize, Vincovolo, Amazon, Bianca ITA, Abodes, Gotico, Bye Luby, Themis, La Cirena, Last Dream, Adalah, Rim, Peluxo, Iridescence, Belella, Atlantic Blue, Venus, Isias, Azur, Nablus, Diabolo, L’Arq, Perseverance dan Munki.
Beliau berkata rakyat Malaysia terlibat dalam insiden itu ialah Razman Mat Ali yang menaiki kapal Azur, Nor Liyana Farhan Daud (Amazon), Al Ahmad Shah Abdul Kadir (Iridescence) serta Abdul Rahim Abdul Razak dan Eddy Noor Mad Amin (Marilyn).
Turut ditahan kapal Bolarize yang membawa Mohd Hanafi Mohd Salim dan Mohd Redzal Amzah, serta kapal Ozgurluk yang dinaiki Jihan Alya Mohd Nordin dan Norhelmi Ab Ghani.
Semalam, 16 rakyat Malaysia ditahan antaranya Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Amanda, Muhamad Muhsin Zaidi (Isobella) serta Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari (Cactus).
Turut ditahan S. Patmanathan, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Dr Syakirin Muhamed Senin (Ferluto), Abdul Samad Selamat dan Naufa Azhari (Bianca ITA), Mohammad Farizzal Rostam dan Muhammad Zaid Abdul Karim (Gotico) serta Norazman Ishak (Abodes).
Selain itu, turut ditahan ialah Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Shamsir Mohd Isa dan Osman Zolkifli (Themis) serta Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Josef).
Sani Araby berkata SNCC turut mengesahkan beberapa delegasi negara lain kendalian Sumud Nusantara turut ditahan melibatkan aktivis dari Pakistan, Sri Lanka dan Indonesia, iaitu Abdul Sattar (Zio Faster), Sameera (Umut), Thoudy Badai, Heru Rahendro dan Andre Prasetyo (Ozgurluk), serta Bambang Noroyono (Bolarize) dan Andi Anga Prasadewa (Josef).
"SNCC mengecam tindakan pemintasan dan penculikan ini sebagai perlakuan lanun, bacul dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) serta merupakan pencabulan serius terhadap prinsip kebebasan misi kemanusiaan yang dilaksanakan di perairan antarabangsa," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial