WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KPJU, RCS England Jalin Kerjasama Perkukuh Standard Pembedahan 

19/05/2026 07:45 PM

KUALA LUMPUR, 19 Mei (Bernama) -- KPJ Healthcare University (KPJU) telah menjalinkan kerjasama dengan Royal College of Surgeons of England (RCS England) bagi pembangunan standard pendidikan dan penyelidikan dalam bidang pembedahan di negara ini.

Kerjasama itu menggabungkan sistem kesihatan akademik KPJ yang merangkumi latihan kepakaran perubatan pascasiswazah, sains kesihatan bersekutu serta rangkaian hospital pengajar dengan kurikulum pembedahan, rangka kerja penilaian dan kepakaran fakulti RCS England yang diiktiraf pada peringkat global.

KPJ Healthcare Berhad dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, perkongsian itu akan memperkukuh kompetensi pembedahan, serta memacu penerapan hasil penyelidikan dalam amalan klinikal bagi meningkatkan hasil rawatan pesakit menerusi KPJ Health System. (KPJHS), yang merangkumi 30 hospital pakar.

Majlis penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) itu diadakan di Damansara Specialist Hospital 2 hari ini, yang disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) yang juga Pengerusi KPJU, Profesor (Kehormat) Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim dan Presiden RCS England, Tim Mitchell.

Berucap pada majlis itu, Syed Mohamed berkata perjanjian itu untuk memperkukuh pendidikan pembedahan serta membangunkan keupayaan pakar bedah dan pasukan pembedahan.

“Hari ini kita bukan sekadar satu majlis menandatangani kerjasama, tetapi mencerminkan aspirasi bersama untuk memperkukuh pendidikan pembedahan, meningkatkan standard rawatan pembedahan serta membangunkan keupayaan pakar bedah dan pasukan pembedahan di seluruh sistem kami,” katanya. 

Beliau berkata KPJHS telah membangunkan pelan strategik dan pelan pelaksanaan yang dipacu oleh penyelarasan sistem kesihatan serta faktor-faktor yang akan menentukan masa depan penjagaan kesihatan, termasuk kecerdasan buatan, genomik dan penjagaan berasaskan nilai.

Sementara itu, Naib Canselor KPJU Profesor Dr Tunku Kamarul Zaman Tunku Zainol Abidin berkata kerjasama itu memperkukuh peranan universiti dalam menyokong perkembangan pengajian pascasiswazah dan pembangunan fellowship, di samping menyelaraskan pendidikan, latihan dan penyelidikan dengan amalan klinikal semasa serta standard antarabangsa.

Melalui kerjasama ini, KPJU berada di landasan untuk terus memperluas rangkaian pendidikan dan penyelidikan antarabangsa, dengan memanfaatkan kerjasama sedia ada bersama institusi terkemuka seperti Mayo Clinic, University College London dan University of Melbourne,

Universiti itu juga akan menjalinkan kerjasama dengan Imperial College Healthcare bagi memajukan pendidikan eksekutif, laluan fellowship yang berstruktur serta penyelidikan bersama, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan KPJU sebagai hab serantau bagi kecemerlangan penjagaan kesihatan.

“Kerjasama dengan RCS England itu memperkukuh komitmen KPJ dalam membangunkan satu sistem kesihatan yang bersedia untuk masa hadapan, dengan menyelaraskan pendidikan, amalan klinikal dan penyelidikan bagi memastikan hasil rawatan yang konsisten dan berkualiti tinggi pada skala lebih meluas,” menurut kenyataan itu. 

Turut hadir pada majlis menandatangani itu ialah Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare Berhad Chin Keat Chuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan