WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PM Mahu Diplomat Malaysia Perkukuh Diplomasi Ekonomi Negara

20/05/2026 09:16 PM

KUALA LUMPUR, 20 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu diplomat Malaysia terus memperkukuh keupayaan diplomasi ekonomi negara khususnya dalam menarik perdagangan, pelaburan berkualiti tinggi dan meneroka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkasa pertumbuhan ekonomi secara mampan.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, menekankan perkara itu ketika menerima kunjungan hormat 13 Ketua Perwakilan Diplomatik Malaysia yang bakal bertugas di pelbagai rantau strategik dunia hari ini.

“Saya menyentuh bahawa peranan seorang diplomat menuntut lebih daripada sekadar penguasaan protokol dan hubungan rasmi antara negara hatta memerlukan kefahaman yang mendalam terhadap sejarah, budaya, sistem politik serta nuansa masyarakat setempat agar setiap bentuk keterlibatan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan bermakna.

“Malah saya tekankan juga pentingnya usaha berterusan untuk membimbing dan memperkasa generasi diplomat muda agar memiliki keluasan ilmu, ketajaman pemikiran serta kemampuan mendepani geopolitik dan ekonomi global yang semakin mencabar dan kompleks ketika ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata Malaysia akan terus berpegang pada prinsip kesederhanaan, kestabilan, tadbir urus yang baik serta pendekatan diplomasi berteraskan kebijaksanaan dan nilai kemanusiaan sejagat dalam membawa suara negara di pentas dunia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan