ISTANBUL, 20 Mei (Bernama-Anadolu) -- Presiden Rusia Vladimir Putin meninggalkan China pada Rabu selepas menamatkan lawatan selama dua hari.
Putin mengadakan perbincangan dengan Presiden China Xi Jinping semasa lawatan rasmi beliau, yang disifatkannya sebagai "berjaya, membuahkan hasil dan amat intensif," lapor Agensi Anadolu.
Pemimpin Rusia itu tiba di Beijing pada malam Selasa untuk lawatan ke-25 beliau ke China.
Kedua-dua pemimpin mengadakan perbincangan pada Rabu bagi memperkukuh hubungan dan menolak apa yang disifatkan mereka sebagai "kembali kepada undang-undang rimba" dalam urusan global.
Semasa lawatan Putin, Moscow dan Beijing menandatangani lebih 40 dokumen dalam bidang seperti ekonomi, tenaga, pengangkutan, dan kerjasama antarabangsa.
Kedua-dua pemimpin menerima pakai kenyataan bersama mengenai pengukuhan lanjut perkongsian dan memperdalam hubungan antara Rusia dan China, serta deklarasi bersama mengenai pembentukan dunia multipolar dan jenis hubungan antarabangsa yang baharu.
Mereka juga membincangkan perang Iran, menyifatkan serangan ketenteraan Israel-Amerikak Syarikat (AS) ke atas Tehran sebagai tidak sah, selain menentang sekatan unilateral serta perampasan aset oleh negara asing.
Xi turut menyifatkan lawatan Putin sebagai satu "kejayaan," dengan menyatakan bahawa perbincangan berkenaan adalah “meluas” dan menghasilkan “hasil yang besar.”
Lawatan itu bertepatan dengan ulang tahun ke-25 Perjanjian Kejiranan Baik dan Kerjasama Mesra antara kedua-dua negara, yang turut dilanjutkan oleh kedua-dua pemimpin.
Perjanjian persahabatan China-Rusia itu ditandatangani pada 2001 oleh Putin dan Presiden China ketika itu, Jiang Zemin.
Putin dan Xi juga mengisytiharkan tahun 2026 dan 2027 sebagai Tahun Pendidikan Rusia-China.
Perdagangan antara Rusia dan China mencecah lebih US$240 bilion pada 2023, meningkat lebih dua kali ganda daripada tahap sebelum perang Ukraine.
China juga menyerap kira-kira 50 peratus daripada eksport minyak mentah Rusia, menurut anggaran 2024-2025.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial