KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara digesa untuk “melihat kepada diri mereka sendiri” dan berdepan dengan realiti kemerosotan prestasi mereka, selepas satu lagi penampilan mengecewakan di Malaysia Masters 2026.
Perseorangan lelaki kebangsaan sekali lagi mengalami kegagalan menyeluruh pada pusingan pembukaan untuk tahun kedua berturut-turut kejohanan itu, selepas pemain nombor satu negara Leong Jun Hao dan Justin Hoh masing-masing tersingkir di Unifi Arena Bukit Jalil, di sini semalam.
Jun Hao yang berada pada kedudukan ke-25 dunia, tewas 19-21, 21-23 kepada pemain China yang berada pada kedudukan ke-69 dunia Hu Zhe An, manakala Justin disingkirkan pemain berpengalaman Indonesia Anthony Sinisuka Ginting, 16-21, 14-21.
Kekecewaan terkini itu menambahkan lagi kebimbangan beliau terhadap ketidakstabilan prestasi serta ketidakupayaan mereka untuk bersaing di gelanggang, sekali gus mendorong Pengarah Kejurulatihan Perseorangan Kebangsaan Kenneth Jonassen, untuk memberikan penilaian yang amat jujur mengenai situasi semasa.
Jonassen berkata isu itu bukan berpunca daripada kekurangan bakat atau kemampuan teknikal, sebaliknya lebih berkait dengan mentaliti pemain, disiplin dan keengganan mereka menyesuaikan diri dengan tuntutan badminton moden.
“Saya tidak merasakan kita kalah kerana kurang kemahiran. Tidak. Kita tewas kerana kurang disiplin untuk melaksanakan dan mematuhi perancangan serta kemampun untuk menerima keadaan yang tidak selesa dan bertindak untuk menanganinya dengan baik.
“Anda perlu berdisiplin dalam semua aspek. Disiplin untuk terus ingin mengetahui bagaimana untuk bermain, walaupun dalam keadaan yang tidak selesa,” katanya kepada pemberita pada Malaysia Masters 2026 di sini.
Jonassen berkata kedua-dua pemain itu masih terlalu memberi tumpuan untuk menghasilkan mata kemenangan dan pukulan serangan yang menarik, berbanding mempelajari cara membina tekanan secara sabar menerusi konsistensi dan kesedaran taktikal.
“Dalam badminton hari ini, anda tidak boleh bergantung kepada pukulan serangan sepanjang masa. Permainan sudah berubah. Konsistensi dan keupayaan untuk membuatkan lawan berada dalam keadaan tidak selesa, jauh lebih penting sekarang,” katanya.
Jurulatih dari Denmark itu turut mengakui keyakinan dalam kem kebangsaan merosot dengan ketara susulan kempen mengecewakan Malaysia pada Piala Thomas awal bulan ini, yang menyaksikan mereka tersingkir pada peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada juara bertahan China.
Sementara itu, Jonassen berkata peningkatan yang berkekalan hanya akan berlaku, sekiranya pemain sendiri sanggup mengubah tabiat harian, cara pemikiran dan intensiti latihan mereka.
“Latihan bukan sekadar latihan semata-mata. Ia sentiasa menjadi persediaan untuk kejohanan seterusnya. Inilah mentalitinya. Ia bukan sesuatu yang saya datang dan hanya mahu lakukan.
“Jika saya ke gimnasium, saya ke sana untuk menjadi lebih kuat. Jika saya turun ke gelanggang, saya berada di sana dengan perancangan yang khusus, bukannya sekadar menghabiskan latihan dua jam. Saya perlukan sasaran. Mana-mana pemain yang datang perlu mempunyai mentaliti seperti ini iaitu bagaimana saya mahu menjadi lebih baik hari ini? Jika kita mempunyai kualiti itu, kita ada peluang,” katanya.
Namun demikian, jurulatih berusia 51 tahun itu berkata beliau masih percaya terhadap kumpulan pemain semasa termasuk Jun Hao, namun menekankan bahawa masa hadapan mereka bergantung sepenuhnya kepada kesediaan untuk berubah.
“Saya sangat percaya kepada peluang kedua atau peluang terakhir, tetapi semuanya bergantung kepada kesediaan untuk berubah, menyesuaikan diri dan mempelajari perkara baharu setiap hari,” katanya.
Sebaliknya, Jonassen menjadikan bahagian perseorangan wanita sebagai contoh pemain yang menerima proses pembangunan jangka panjang, walaupun berdepan pelbagai cabaran dan situasi sukar.
“Pemain wanita kini sampai ke tahap yang mereka menerima bahawa situasi itu memang sangat tidak selesa. Apabila sesuatu tidak menjadi, mereka tidak betul-betul mencari punca sebenar selain melihat kepada diri mereka sendiri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial