WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Polis Buru Dua Lelaki Curi Peti Wang Peniaga Wanita Jual 'Nasi Bajet'

21/05/2026 09:36 PM

IPOH, 21 Mei (Bernama) -- Polis sedang mengesan dua lelaki yang disyaki melarikan peti wang dan telefon bimbit milik seorang peniaga wanita yang menjual ‘nasi bajet’ di gerainya di tepi Jalan Lebuh Meru Raya, di sini. 

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu mangsa yang berusia 21 tahun sedang berniaga dan membungkus makanan sebelum didatangi dua lelaki menaiki motosikal jenis Yamaha Y15ZR berwarna perak yang dipercayai berpura-pura membeli makanan.

“Ketika mangsa sedang membungkus nasi, suspek dipercayai telah melarikan sebuah peti wang mengandungi wang tunai serta sebuah telefon bimbit jenis Iphone 13 miliknya sebelum melarikan diri menaiki motosikal dan menghala ke arah bulatan Meru Raya.

“Anggaran kerugian keseluruhan adalah lebih kurang RM2,000 melibatkan wang tunai dan sebuah telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan. 

Beliau berkata kejadian itu turut tular di media sosial Facebook selepas rakaman insiden dimuat naik oleh orang awam dan mendapat perhatian netizen.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di talian 05-2451500 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan polis sedang giat mengesan suspek yang terlibat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan