WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ADE Peroleh Pembiayaan US$100 Juta Daripada QNB Group Bagi Percepat Pengembangan

22/05/2026 10:47 AM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Asia Digital Engineering (ADE), anak syarikat Capital A Bhd bagi penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), memperoleh kemudahan pembiayaan US$100 juta (US$1=RM3.95) daripada QNB Group, institusi kewangan Timur Tengah dan Afrika.

Dalam kenyataan hari ini, ADE menjelaskan pembiayaan itu akan menyokong pengembangan dan pertumbuhan kapasiti berterusan pihaknya seiring dengan usaha syarikat meningkatkan keupayaan dan mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyedia MRO yang paling pesat berkembang di rantau ini.

“Kapasiti tambahan ini dijangka meningkatkan keupayaan ADE untuk untuk memenuhi keperluan portfolio pelanggan syarikat penerbangan yang semakin berkembang, di samping menyokong pelanggan utama jangka masa panjang kami, kumpulan AirAsia,” jelasnya.

Syarikat itu memaklumkan pembiayaan tersebut mencerminkan keyakinan terhadap rekod prestasi ADE yang telah terbukti, mempercepat trajektori pertumbuhan dan potensi pengembangan jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutif ADE, Mahesh Kumar berkata pihaknya telah menyelesaikan lebih 300 pemeriksaan penyenggaraan berat dan menyeluruh ke atas pesawat komersial, sekali gus membuktikan skala dan konsistensi keupayaan ADE.

“Pembiayaan ini akan mempercepat pelan pengembangan kami, melabur dalam kapasiti tambahan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat dan kukuh terhadap perkhidmatan MRO, seterusnya mengukuhkan kemampuan kami untuk melaksanakan penyenggaraan yang efisien dan berkelas dunia.

“Ini akan meminimumkan masa henti serta memaksimumkan prestasi syarikat penerbangan yang menjadi pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata ADE yang bermula sebagai keupayaan kejuruteraan dalaman dengan menawarkan perkhidmatan kepada AirAsia kini telah berkembang menjadi perniagaan perkhidmatan penerbangan yang pesat berkembang.

Beliau berkata perniagaan itu kini menyokong pelbagai syarikat penerbangan global, termasuk pelanggan seperti Air France, dan menarik sokongan serius daripada institusi.

“Saya yakin ADE akan bergerak maju lebih pantas, berkembang lebih jauh dan memanfaatkan peluang besar dalam ruang MRO, akhirnya menjadi kuasa besar serantau,” katanya.

Naib Presiden Eksekutif Kanan bagi Perbankan Korporat dan Institusi Kumpulan, QNB Group, Khalid Ahmed Al-Sada berkata usaha itu menjadi satu lagi langkah ke hadapan untuk menyokong pembiayaan MRO dan pertumbuhan ruang udara di pasaran Asia secara aktif.

Beliau berkata langkah itu turut memperluas jejak antarabangsa QNB yang disokong oleh visi untuk menjadi bank terkemuka di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Tenggara (MEASEA) di samping mengekalkan kepimpinan pasaran yang dominan.

ADE menawarkan penyelesaian kejuruteraan dan penyenggaraan menyeluruh di seluruh rantau ini.

Rangkaian penyenggaraannya merangkumi 20 lapangan terbang di seluruh rantau Asia Tenggara, disokong oleh keupayaan penyenggaraan asas sehingga 16 barisan, berserta pelbagai bengkel khusus di Kuala Lumpur.

ADE meraih pengiktirafan sebagai Organisasi Penyenggaraan Diluluskan (AMO) di 18 negara, di samping memperoleh Kelulusan Organisasi Penyenggaraan EASA Bahagian 145 daripada Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) dan pensijilan FAA daripada Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan