WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Mohammad Syahir Alami Ketegangan Otot, Belum Pasti Beraksi Di Separuh Akhir

22/05/2026 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad sepak takraw negara Ahmad Jais Baharun masih menunggu laporan perubatan tekong utama negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi menjelang aksi separuh akhir esok.

Beliau berkata Mohammad Syahir mengalami ketegangan otot dan kecergasan pemain itu masih belum berada pada tahap terbaik.

“Saya tengah tunggu laporan daripada pasukan perubatan dulu untuk melihat sejauh mana kecederaan yang Syahir alami.

“Kita sedar kecergasan Mohammad Syahir belum berada pada tahap terbaik. Dia mengalami ketegangan otot di bahagian kiri pinggulnya dan kita harapkan rawatan dapat dijalankan dengan sebaik mungkin untuk persiapan ke separuh akhir,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan hari ini.

Ahmad Jais berkata sekiranya keadaan tonggak negara itu tidak mengizinkan, barisan kejurulatihan mungkin melakukan rombakan regu dan susunan pemain bagi menghadapi aksi separuh akhir.

“Saya kena terima dengan hati terbuka kerana dalam sukan apa-apa situasi boleh berlaku. Kita tidak mahu mengambil risiko besar terhadap kecederaan Mohammad Syahir dan perlu melihat sejauh mana tahap kemampuan beliau untuk beraksi,” katanya. 

Pada aksi suku akhir hari ini Mohammad Syahir mengalami kecederaan pada penghujung set pertama sebelum digantikan dengan Zarif Marican Ibrahim Marican.

Malaysia bagaimanapun tetap melangkah ke separuh akhir selepas mengecewakan Jepun 2-0. 

Dalam pada itu, Ahmad Jais mengakui siapa sahaja bakal lawan Malaysia di separuh akhir mempunyai kekuatan tersendiri dan skuad negara perlu bersedia menghadapi segala cabaran.

“Kalau kita tengok dari segi permainan, kedua-dua pasukan (Indonesia dan Filipina) agak seimbang dan masing-masing ada kekuatan tersendiri. Sasaran kita dalam acara berpasukan adalah untuk melayakkan diri ke final dan pemain yang diberi tanggungjawab esok perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan