Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 22 Mei (Bernama) -- Biarpun hampir sedekad berlalu, namun buat jurukamera sambilan RTM Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer insiden tembakan yang hampir meragut nyawanya masih segar dalam ingatan dan menghantuinya hingga hari ini.
Mohamad Amirul Amin, 38, berkata beliau masih jelas terbayang bagaimana niat murninya untuk membantu individu yang disangka mangsa kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu pada 1 Dis 2016 bertukar menjadi pengalaman ngeri.
Mengimbau kejadian itu, beliau bersama rakan wartawan Mohd Iskandar Othman Muhammad ketika itu sedang dalam perjalanan untuk membuat liputan perasmian Pesta Pulau Pinang di Sungai Nibong apabila melihat beberapa kenderaan berhenti di laluan tengah lebuh raya.
“Saya ingatkan kemalangan, sebab itu saya berhentikan motosikal kerana hendak bantu. Sebaik turun dari motosikal, saya nampak seorang lelaki berlumuran darah sebelum saya tanya ‘ok kah’ sambil tepuk bahunya.
“Tiba-tiba terdengar bunyi ‘pang’ dan ketika itu saya memang ingat sudah mati. Saya terus terduduk sambil memegang dada dan cuma nampak suspek melepaskan beberapa lagi das tembakan secara rambang sebelum dia ditahan polis,” katanya dalam satu temu bual di Pejabat Biro Bernama Pulau Pinang.
Dalam kejadian 7.15 malam itu, tiga lelaki termasuk ahli perniagaan Datuk Ong Teik Kwang maut, manakala lima yang lain termasuk Mohamad Amirul Amin cedera akibat peluru sesat daripada tembakan yang dilepaskan pengawal peribadi Ong.
Jurukamera yang hampir 20 tahun berkhidmat dalam bidang penyiaran itu berkata pada awalnya beliau tidak menyedari tahap kecederaan yang dialami, sehinggalah pernafasannya menjadi semakin sukar dan tangan kirinya berasa kebas.
“Saya diberi rawatan awal di lokasi kejadian. Selepas lebih kurang 15 minit, badan saya mula lemah. Bila sampai di Hospital Pulau Pinang, saya sudah tidak sedarkan diri … memang macam antara hidup dengan mati,” katanya.
Mohamad Amirul Amin, yang cedera di bahu kiri menjalani rawatan intensif selama empat bulan sebelum kembali bertugas. Namun sehingga kini, kesan kecederaan akibat tembakan itu masih dirasai dan beliau masih menjalani rawatan susulan.
“Tembakan itu beri kesan pada saraf dan doktor maklumkan belerang telah masuk ke beberapa bahagian badan termasuk sekat tujuh saluran ke jantung. Sehingga sekarang saya masih rasa sakit,” katanya.
Sepanjang tempoh pemulihan, beliau terpaksa berdepan pelbagai cabaran termasuk tidak boleh terdedah kepada cuaca sejuk dan kesakitan saraf yang mengganggu tidurnya. Bagaimanapun, pengalaman traumatik itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus berbakti dalam dunia kewartawanan.
“Apa yang berlaku itu bukan melemahkan saya tetapi beri semangat untuk teruskan kerja. Sokongan keluarga terutama mak saya ketika itu menjadi kekuatan utama untuk saya bangkit semula,” katanya sambil memaklumkan ibunya, Bunisa Mohd Ali telah meninggal dunia pada usia 66 tahun, dua tahun lepas.
Sebagai saksi kes, beliau pernah hadir ke mahkamah tetapi memilih untuk tidak bersemuka dengan suspek. Beliau turut menyifatkan insiden itu sebagai antara pengalaman paling getir dalam hidupnya selain membentuk ketahanan diri sebagai seorang jurukamera.
“Orang nampak hasil gambar atau video sahaja tapi tidak tahu cabaran di sebaliknya. Kadang-kala nyawa pun jadi taruhan. Namun, bagi saya kepuasan dalam menghasilkan visual terbaik untuk tatapan masyarakat menjadi pendorong utama untuk terus bertahan,” katanya.
Mohamad Amirul Amin yang menerima sumbangan Tabung Kasih@HAWANA pada 22 Jun 2024 turut melahirkan rasa syukur atas perhatian yang diberikan.
“Walaupun saya cuma jurukamera sambilan, HAWANA tetap menyantuni saya dengan memberikan bantuan, malah ambil berat tentang kesihatan saya,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil atas keprihatinan.
Inisiatif Tabung Kasih@HAWANA dilaksanakan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan dilancarkan bersempena dengan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial