KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bekerjasama dengan Daikin Malaysia Sdn Bhd dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) untuk menganjurkan Program Rantaian Bekalan MIDA-Daikin.
Program itu bertujuan membantu perusahaan kecil dan sederhana tempatan (PKS) serta pembekal Malaysia untuk meningkatkan daya saing dan mengambil bahagian dengan lebih aktif dalam rantaian bekalan pembuatan global.
Dalam satu kenyataan hari ini, MIDA berkata program itu menghimpunkan lebih 100 peserta, yang terdiri daripada rakan kongsi ekosistem Daikin, termasuk Daikin Electronics Devices Malaysia, PKS tempatan, institusi kewangan dan agensi kerajaan.
“Sesi itu menyediakan panduan praktikal mengenai keperluan pembekal, transformasi digital, pembuatan pintar dan sokongan kewangan bagi membantu syarikat Malaysia berkembang, menaik taraf operasi mereka serta memenuhi keperluan syarikat multinasional yang sentiasa berubah dengan lebih baik,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata usaha mengintegrasi PKS Malaysia ke dalam rantaian nilai global adalah penting untuk mengekalkan daya saing perindustrian negara.
“Menerusi program pembangunan vendor yang disasarkan seperti ini, MIDA membantu PKS Malaysia membina keupayaan yang diperlukan untuk menjadi rakan kongsi yang dipercayai dalam rantaian bekalan global.
“Apabila syarikat Malaysia menjadi sebahagian daripada rantaian global, impaknya melangkaui pertumbuhan perniagaan.
“Ia mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, mengukuhkan industri tempatan, menggalakkan penggunaan teknologi dan membuka lebih banyak peluang untuk rakyat Malaysia menyertai aktiviti ekonomi bernilai lebih tinggi,” katanya.
Menurut MIDA, sesi itu menampilkan pembentangan daripada wakil MIDA, Daikin Malaysia, Daikin Electronics Devices Malaysia, SHRDC, Alliance Bank dan pemain industri.
Pembentangan itu merangkumi keperluan pembekal, transformasi pembuatan pintar, pembangunan rantaian bekalan yang mampan dan penyelesaian pembiayaan bagi menyokong pendigitalan.
Selain itu, peserta turut dibawa melawat kemudahan SHRDC untuk mendapat pendedahan langsung kepada automasi, pendigitalan dan aplikasi Industri 4.0.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha proaktif MIDA untuk meningkatkan keupayaan rantaian bekalan domestik dan memperluaskan penyertaan syarikat tempatan dalam industri bernilai tinggi.
“MIDA menghubungkan PKS Malaysia dengan syarikat multinasional, memudahkan penggunaan teknologi dan menyokong usaha menaik taraf keupayaan selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030),” katanya.
MIDA menambah bahawa kesemua usaha itu bertujuan membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia, terutamanya PKS, berkembang bersama syarikat multinasional dan penyertaan yang lebih bermakna dalam pembangunan perindustrian negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial