PUTRAJAYA, 22 Mei (Bernama) -- Dua kod baharu di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) akan mula berkuat kuasa 1 Jun ini bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak, serta mewajibkan platform digital mengambil langkah lebih tegas terhadap kandungan memudaratkan.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kedua-dua kod itu dibangunkan susulan sesi libat urus bersama industri, organisasi masyarakat sivil dan pihak berkepentingan, termasuk rundingan awam yang berlangsung dari 12 Feb hingga 31 Mac lepas.
Menurut MCMC, tempoh pelaksanaan yang munasabah akan diberikan kepada pemberi perkhidmatan bagi membolehkan proses pengesahan diselesaikan dengan teratur.
"Kod ini menetapkan jangkaan yang jelas kepada pemberi perkhidmatan untuk memikul tanggungjawab yang lebih besar dalam menangani kandungan memudaratkan dalam perkhidmatan masing-masing, khususnya dalam melindungi kanak-kanak dan pengguna rentan.
“Pendekatan pelaksanaan di bawah kod ini adalah berasaskan hasil, yang memberi fleksibiliti kepada pemberi perkhidmatan untuk melaksanakan penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan keselamatan, privasi dan perundangan," menurut kenyataan itu.
MCMC memaklumkan CPC dan RMC ialah langkah penting dalam memperkukuh pendekatan Malaysia terhadap keselamatan dalam talian.
"Pelaksanaan obligasi utama di bawah ONSA ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan untuk memastikan pengalaman digital yang lebih selamat bagi kanak-kanak dan keluarga.
“Langkah ini membantu memperkukuh perlindungan kanak-kanak di persekitaran dalam talian, di samping memberikan keyakinan tambahan kepada ibu bapa dalam menghadapi risiko digital yang semakin kompleks," menurut kenyataan itu.
Di bawah CPC, penyedia platform diwajibkan menerapkan keselamatan melalui binaan, termasuk mengehadkan pendaftaran dan pemilikan akaun oleh pengguna bawah 16 tahun, selain memperkenalkan perlindungan mengikut umur serta mengehadkan fungsi tertentu yang boleh mendedahkan kanak-kanak kepada risiko, sekali gus mengurangkan pendedahan kepada kandungan eksploitasi dan memudaratkan.
Sementara itu, RMC menghendaki penyedia perkhidmatan melaksanakan langkah proaktif dan menyeluruh bagi mengurangkan risiko kandungan memudaratkan, termasuk penilaian risiko, tadbir urus kandungan yang lebih kukuh, mekanisme pelaporan dan respons yang berkesan, langkah pengesahan pengiklan serta pelabelan kandungan yang dimanipulasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial