KOTA KINABALU, 22 Mei (Bernama) -- Kebanyakan kes bunuh diri dalam kalangan remaja berlaku secara impulsif dan melibatkan perancangan yang minimum, Mahkamah Koroner di sini diberitahu hari ini dalam prosiding inkues kematian pelajar berusia 13 tahun, Zara Qairina Mahathir.
Pakar perunding psikiatri forensik Hospital Mesra Bukit Padang Dr Chua Sze Hung, 43, berkata remaja yang terasing dari segi psikologi dan fizikal berkemungkinan cenderung mengambil pendekatan mengawal tekanan yang tertumpu kepada emosi termasuk memikirkan masalah secara berulang-ulang, apabila berdepan tekanan akut.
“Dia boleh dan dia juga tidak boleh. Ia perlu difahami mengikut konteks dan keadaan psikologinya pada ketika itu.
“Kemungkinan besar dia berada dalam keadaan kekangan kognitif iaitu tidak mampu mempertimbang alternatif lain. Menamatkan nyawanya dianggap sebagai satu-satunya jalan,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada pelajar yang didakwa membuli Zara Qairina, di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Dr Chua yang juga saksi ke-67 dalam prosiding berkenaan berkata situasi itu diburukkan lagi oleh fakta bahawa korteks prefrontal (bahagian otak) dimiliki golongan remaja masih belum berkembang sepenuhnya dari segi neurobiologi.
Beliau berkata korteks prefrontal bertanggungjawab terhadap fungsi seperti kawalan impuls, perencatan dan membuat keputusan, yang kesemuanya mungkin boleh lebih terganggu akibat kurang tidur, tekanan akut dan faktor penyumbang lain.
Ditanya oleh Goh sama ada seseorang yang mempunyai hubungan rapat dengan ibu mereka kebiasaannya akan menghubungi untuk mengucapkan selamat tinggal sebelum mengambil tindakan sedemikan, pakar itu berkata bunuh diri dalam kalangan remaja berbeza daripada bunuh diri membabitkan golongan dewasa.
Beliau berkata bunuh diri dalam kalangan dewasa sering dikaitkan dengan gangguan mental dan penyalahgunaan bahan manakala remaja pula lazimnya berkaitan dengan tekanan persekitaran dan konflik interpersonal.
“Bunuh diri dalam kalangan remaja boleh berlaku secara impulsif, menyebabkan tindakan seperti menghubungi orang lain untuk mengucapkan selamat tinggal, memberikan barangan milik peribadi, dan menulis nota bunuh diri kurang kerap berlaku,” katanya.
Sementara itu, menjawab soalan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah iaitu peguam bagi seorang lagi pelajar yang dituduh, Dr Chua tidak bersetuju bahawa Zara Qairina berkemungkinan menamatkan nyawanya sendiri disebabkan pencetus lain atau faktor yang menggugat kestabilan emosi, walaupun tanpa insiden di asrama.
Menurut Dr Chua, beliau tidak mengenal pasti sebarang pencetus atau faktor yang menggugat kestabilan emosi pada malam atau pagi kejadian terbabit selain daripada isu yang berlaku di asrama.
Bagaimanapun, beliau bersetuju kesukaran sesebuah keluarga untuk menerima kemungkinan bunuh diri tidak, dengan sendirinya, menyangkal dapatan forensik atau psikologi yang konsisten dengan kes bunuh diri.
Terdahulu, ketika disoal peguam Datuk Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina, Dr Chua mengakui ini merupakan kali pertama beliau menyediakan laporan autopsi psikologi.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 8 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan agar kubur pelajar itu digali semula dan mayatnya dibedah siasat sekali lagi manakala pada 13 Ogos tahun sama, AGC mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Prosiding inkues bersambung pada 22 hingga 26 Jun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial