SHAH ALAM, 22 Mei (Bernama) -- Sektor aeroangkasa, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan di Malaysia menggaji lebih 35,000 pekerja berkemahiran tinggi pada 2025, melebihi sasaran awal iaitu lebih 30,000 pekerja menjelang 2030 yang ditetapkan Pelan Induk Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) 2030.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata Malaysia juga menjana perolehan industri sebanyak RM32.5 bilion, sekali gus mengekalkan prospek positif untuk mencapai sasaran RM55 bilion menjelang akhir dekad ini berdasarkan pelan induk tersebut.
“Asia Pasifik sedang mengalami pertumbuhan tertinggi dalam industri aeroangkasa, justeru kita berada di landasan yang tepat untuk mencapai RM55 bilion menjelang 2030,” katanya pada sidang media selepas pelancaran Base Maintenance Malaysia (BMM) di sini, hari ini.
Mengikut pelan induk itu, Malaysia menyasar untuk meningkatkan penguasaan negara dalam pasaran MRO global daripada empat peratus pada 2025 kepada lima peratus menjelang 2030, di samping memperkukuh subsektor utama seperti pembuatan aeroangkasa, integrasi sistem, perkhidmatan kejuruteraan dan reka bentuk, serta pendidikan dan latihan.
BMM merupakan sebahagian daripada rangkaian penyenggaraan pangkalan serantau SIA Engineering Company (SIAEC).
BMM menyediakan kapasiti tambahan bagi melengkapkan hangar di Singapura dan Filipina untuk menyokong MRO bagi pesawat dua lorong serta pesawat lorong tunggal generasi semasa dan akan datang di seluruh Asia Pasifik dan kawasan lain.
Sementara itu, dalam kenyataan, syarikat itu menjelaskan kemudahan dua hangar milik BMM, yang mampu menampung sehingga enam pemeriksaan pesawat secara serentak, meningkatkan daya tahan operasi SIAEC serta memberikan lebih fleksibiliti kepada pelanggan dalam memenuhi keperluan MRO masing-masing.
Mengulas mengenai pelancaran itu, Sim berkata pengiktirafan Malaysia oleh syarikat aeroangkasa global utama seperti Airbus, Boeing, Collins Aerospace, Safran dan Turkish Aerospace Industries mencerminkan keupayaan serta kedudukan antarabangsa yang dipegang Malaysia semakin berkembang.
Beliau turut menyifatkannya sebagai pencapaian besar bagi Malaysia.
“Kita tahu SIAEC merupakan antara syarikat kejuruteraan penerbangan terbaik di dunia. Keputusan syarikat ini memilih Malaysia untuk operasi penyenggaraan mencerminkan keyakinannya terhadap tenaga kerja mahir Malaysia dan keupayaan ekosistem aeroangkasa negara,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial