WILAYAH - SARAWAK > BERITA

Bank Islam Sedia Pengalaman Perbankan Menyeluruh Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci

22/05/2026 08:02 PM

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd menyediakan penyelesaian perbankan haji menyeluruh dan bersepadu untuk membantu memudahkan urusan kewangan jemaah haji Malaysia bermula daripada persiapan di tanah air sehingga pelaksanaan ibadah itu di Makkah dan Madinah.

Sebagai rakan strategik utama Lembaga Tabung Haji (TH) bagi musim haji tahun ini, bank berkenaan memaklumkan ekosistem perbankan itu yang dirangka khusus bertujuan memastikan urusan jemaah dapat dilaksanakan dengan lancar, cekap dan selamat, sekali gus membolehkan mereka memberi sepenuh perhatian kepada ibadah.

Dalam kenyataan hari ini, Bank Islam menyatakan jemaah haji boleh membuat persiapan awal menerusi lebih 130 cawangannya di seluruh negara termasuk bagi urusan berkaitan Tabung Haji, pengurusan dana dan perbankan runcit.

“Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk perkhidmatan penulisan wasiat, Takaful myClick Travel PA dengan perlindungan kewangan perubatan dan peribadi sehingga RM500,000 serta bantuan kecemasan 24 jam sehari dan tujuh hari seminggu.

“Bank Islam turut menawarkan produk pelaburan transaksi Awfar yang menyediakan kemudahan pindahan dana, pembayaran bil dan pembelian dalam talian, selain peluang memenangi hadiah menerusi cabutan Awfar dengan hadiah terkumpul bernilai RM18 juta setahun,” katanya.

Bank itu memaklumkan keseluruhan penawaran tersebut diperkasakan oleh platform perbankan digital Bank Islam, BIMB Mobile by Bank Islam (BIMB Mobile) dan platform BIMB Web by Bank Islam (BIMB Web) yang membolehkan pelanggan membuka dan memantau akaun serta melaksanakan transaksi dengan mudah sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Selain itu, Bank Islam menambah pemegang Kad Debit-i Bank Islam Visa TH boleh membuat pembelian di lebih 60 juta lokasi peniaga di seluruh dunia serta melakukan pengeluaran tunai di lebih 2.5 juta mesin pengeluaran wang automatik (ATM) termasuk di Arab Saudi.

Bank itu menyatakan pihaknya turut memberikan pengecualian fi bagi pengeluaran tunai di ATM Visa Plus di Arab Saudi sepanjang musim haji ini bagi membantu mengurangkan kos tambahan dan keperluan membawa wang tunai dalam jumlah yang besar.

“Pada masa sama, bank turut menawarkan kemudahan pertukaran 30 jenis mata wang asing tanpa yuran dan caj di cawangan Bureau de Change Bank Islam di seluruh negara termasuk di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Bagi menyokong jemaah di Tanah Suci, Bank Islam menempatkan 10 petugas khas di lima lokasi di Makkah dan dua lokasi di Madinah sepanjang musim haji ini bagi membantu urusan berkaitan perbankan, penggunaan kad dan isu transaksi,” tambahnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata pihaknya berbesar hati dapat bergerak seiring dengan jemaah dalam menunaikan ibadah itu dengan memastikan urusan perbankan mereka diurus secara selamat, mudah dan teratur.

“Bank Islam kekal komited dalam menyokong kesejahteraan pelanggan melalui pendekatan holistik ini, seterusnya mengukuhkan peranan bank sebagai rakan perbankan yang dipercayai untuk jemaah haji Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan