BUTTERWORTH, 22 Mei (Bernama) -- Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth mencatat satu pencapaian penting dalam industri Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) serantau apabila dinobatkan sebagai Pusat Konvensyen Terbaik 2025 - Malaysia pada Anugerah Pelancongan dan Hospitaliti Asia 2025-2026, yang berlangsung 14 Mei lepas.
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Operasi Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth James Chang berkata pengiktirafan berkenaan mencerminkan kecemerlangan operasi yang dicapai oleh seluruh pasukan pusat konvensyen itu dan bukannya hasil usaha individu semata-mata.
“Setiap acara dikendalikan kami dilaksanakan dengan semangat #majuPICCA yang diterapkan bersama, sekali gus memastikan pelanggan kami menerima standard bertaraf dunia dalam setiap aspek perkhidmatan. Anugerah ini turut membuktikan bahawa strategi hospitaliti kami berkesan,” katanya.
Beliau berkata pengiktirafan itu juga mengukuhkan kedudukan pusat konvensyen berkenaan sebagai pusat penganjuran terkemuka yang mampu menganjurkan persidangan berprofil tinggi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, di samping menyediakan makanan, perkhidmatan serta infrastruktur berkualiti.
Menurut PICCA, pencapaian terbaharu itu memperkukuh rekod pencapaian sedia ada termasuk pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records bagi kategori “Largest Participation in a Claypot Meal Eating Session” melibatkan 2,500 peserta.
Selain itu, Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth menerima Anugerah Merit Kecemerlangan Pusat Konvensyen dan Pameran Binaan pada Anugerah Acara Perniagaan Malaysia (MBEA) 2025 serta Anugerah Kategori Emas menerusi program Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA) oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, pengiktirafan berkenaan diraih pada saat penting iaitu ketika pusat konvensyen itu sedang bersiap sedia memikul peranan lebih besar di peringkat kebangsaan dan serantau termasuk menjadi lokasi penganjuran sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Jun ini.
HAWANA 2026 bakal mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti” bagi memperkasakan peranan pengamal media dalam pembangunan negara, dengan majlis kemuncak sambutan tahunan bagi menghargai jasa golongan pengamal media itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
HAWANA yang juga perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia, dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial