KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyasarkan tempoh memproses permohonan pensijilan halal dapat disingkatkan menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Ketua Pengarah JAKIM Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata langkah itu bakal direalisasikan melalui pengenalan sistem MyeHALAL 2.0 yang disokong pangkalan data MyHALALINGREDIENTS dalam tempoh beberapa bulan lagi.
“Dengan menggunakan data sedia ada, kita boleh memanfaatkannya melalui teknologi AI. Menerusi MyeHALAL 2.0, sistem itu akan menyemak setiap permohonan yang dihantar berasaskan pangkalan data kita, iaitu MyHALALINGREDIENTS yang bertindak sebagai sistem sokongan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.
Beliau berkata inovasi pendigitalan itu membolehkan proses kelulusan dilaksanakan dalam tempoh lebih singkat, sekali gus menyahut hasrat kerajaan untuk menyokong pertumbuhan industri.
Selain penggunaan AI, Sirajuddin berkata JAKIM turut memperkenalkan inisiatif whitelist bagi syarikat yang mempunyai tahap komitmen yang tinggi dan rekod pematuhan yang baik untuk mempercepatkan lagi proses kelulusan sijil halal.
“Bagi syarikat-syarikat yang berkomitmen tinggi dan tak pernah ada masalah, kita namakan mereka whitelist. Ertinya jika mereka memohon dan menghantar dokumen sokongan dengan segera, kelulusan sijil halal boleh disiapkan dalam masa seminggu.
“Ini antara perkara yang kita ambil kira. Oleh kerana komitmen yang tinggi oleh pihak syarikat, maka tidak perlulah kita menyusahkan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial