KUALA LUMPUR, 25 Mei (Bernama) -- Rantaian logistik sektor agrikomoditi negara akan ditambah baik melalui kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), susulan impak krisis bekalan global terhadap sektor berkenaan.
Sehubungan itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata KPK dan KPDN akan bertindak memudahcara pendaftaran peraih individu sebagai syarikat agar turut sama menerima insentif di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS Diesel) mengikut kelayakan bagi menangani impak krisis bekalan global terhadap sektor itu.
Beliau berkata perkara itu yang telah dipersetujui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) juga sejajar dengan kepentingan sektor itu yang menyumbang kepada eksport negara selain turut melibatkan pendapatan pekebun kecil, aktiviti perladangan, pemprosesan, logistik dan industri hiliran.
Beliau berkata unjuran keseluruhan tahun 2026 menjangkakan eksport agrikomoditi menyusut sebanyak 13.48 peratus kepada RM170.2 bilion manakala import berkurangan sebanyak 3.28 peratus kepada RM72.47 bilion.
“Trend ini perlu diberi perhatian kerana gangguan logistik, kenaikan kos input dan tekanan operasi boleh memberi kesan langsung kepada daya saing eksport serta pendapatan pekebun kecil,” katanya dalam Taklimat Krisis Bekalan Global di laman Facebook kementerian hari ini.
Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah berkata KPK perlu terus meneliti langkah mitigasi lain, khususnya bagi jangka masa sederhana dan panjang, termasuk aspek pengukuhan kawalan harga dan anti pencatutan dalam input pertanian.
KPK juga disarankan untuk meneroka potensi eksport produk kelapa sawit ke negara lain bagi melindungi secara keseluruhan merangkumi pengeluaran, pekebun kecil, kestabilan bekalan dan daya saing eksport negara.
"Sebarang intervensi dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan berasaskan data.
"Bantuan mesti sampai kepada pihak yang terkesan, pada masa yang tepat dan dalam bentuk yang paling berkesan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Akmal Nasrullah memaklumkan aktiviti pelabuhan kekal berdaya tahan dengan pengendalian kargo harian melonjak 8.3 peratus kepada 848,900 tan berat muatan (FWT) manakala kontena naik 8.3 peratus kepada 93,100 unit bersamaan 20 kaki (TEU) setakat April 2026.
Aktiviti perdagangan maritim dan rantaian bekalan negara juga berjalan dengan baik, meskipun kos penghantaran, premium insurans dan risiko gangguan laluan global meningkat.
Akmal Nasrullah berkata sektor penerbangan pula menampakkan tekanan lebih ketara dengan pergerakan pesawat harian April 2026 susut sebanyak 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat susulan pembatalan laluan Asia Barat berikutan krisis yang berlaku.
“Pengendalian kargo udara antarabangsa juga turun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram pada April.
"Kargo udara domestik turun kepada 18 peratus kepada 420 kilogram akibat lonjakan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan," katanya.
Bagi tenaga elektrik, Akmal Nasrullah berkata permintaan maksimum bagi minggu 18 hingga 23 Mei, 2026 naik 3.62 peratus kepada 21,319 megawatt (MW) namun pada tahap terkawal di bawah had maksimum sistem iaitu 21,469 MW.
Beliau berkata ketiadaan peningkatan permintaan bekalan elektrik yang mendadak dan kapasiti rizab sedia ada, juga masih mencukupi untuk menampung peningkatan permintaan semasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial